SHAH ALAM, 24 DIS: Seorang pemandu warga asing ditahan dalam Ops Pewa dan Sita yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor di Jalan Panchang Bedena Lama, Sabak Bernam, baru-baru ini.
Menurut kenyataan JPJ, pemeriksaan mendapati pemandu terbabit yang juga pemegang kad permit pekerja asing melakukan beberapa kesalahan serius, termasuk tidak memiliki lesen memandu vokasional (GDL) dan lesen memandu kompeten (CDL).
“Susulan itu, kenderaan perdagangan yang dipandu telah disita dan dibawa ke JPJ Cawangan Sabak Bernam bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan tersebut di Facebook.
JPJ menegaskan pihaknya akan terus memberi perhatian serius serta menjalankan pemantauan berterusan terhadap aduan awam bagi memastikan semua kenderaan yang berada di jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.
Dalam pada itu, orang ramai digesa menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik melalui e-mel rasmi aduantrafik@jpj.gov.my atau menerusi platform aplikasi e-Aduan, berserta butiran pengadu dan maklumat lengkap aduan.
Sebelum ini Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan memaklumkan 5,915 kesalahan membabitkan pemandu lori warga asing direkodkan di Selangor sejak Januari lalu.
Sementara itu, Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan tindakan pengusaha lori yang menggaji pemandu warga asing tanpa lesen sah untuk mengendalikan kenderaan berat bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berisiko tinggi membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.


