SHAH ALAM, 22 SEPT: Sebanyak 32 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di sekitar Puncak Alam dan Elmina, semalam.
Menurut kenyataan JPJ, daripada jumlah itu, 18 kenderaan disita dalam operasi di Stesen Penguatkuasa (SPK) Ijok manakala 14 lagi di SPK Elmina.
Sitaan dibuat susulan pemeriksaan terhadap kenderaan yang dipandu warga asing, dengan pelbagai kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu kompeten (CDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang sah.
“Selain itu, kesalahan menyalahgunakan LKM turut dikesan dalam operasi di SPK Elmina apabila terdapat kenderaan yang menggunakan LKM bagi tujuan yang tidak dibenarkan mengikut peraturan ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

JPJ berkata operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan semua kenderaan yang digunakan di jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.
Pada masa sama, JPJ menggesa orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan kesalahan lalu lintas supaya menyalurkannya menerusi e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-Aduan.
Aduan hendaklah disertakan butiran pengadu serta maklumat lengkap berkaitan kesalahan yang dilaporkan.







