GOMBAK, 16 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dijangka mengadakan lawatan susulan ke projek-projek yang dilaksanakan menerusi program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 selepas siap bagi menilai keberkesanan serta manfaatnya kepada masyarakat setempat.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata lawatan itu akan memberi peluang kepada Baginda melihat sendiri hasil pelaksanaan projek yang diumumkan menerusi program berkenaan serta menilai impaknya kepada penduduk.
"Kami berharap semua projek di bawah GRS dapat disiapkan mengikut jadual. Dalam lawatan GRS akan datang, Raja Muda berpeluang melihat sendiri keberkesanan projek yang telah dilaksanakan," katanya ketika ditemui pada program GRS 2.0 peringkat Gombak hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Tengku Amir Shah melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kertas, Batu Caves yang merupakan antara projek angkat di bawah GRS 2.0.

Dilancarkan pada Mei lalu, GRS 2.0 merupakan edisi kedua inisiatif Kerajaan Negeri yang bertujuan mengukuhkan hubungan masyarakat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh Selangor.
Berbeza dengan edisi pertama yang lebih tertumpu kepada program perpaduan dan pembangunan komuniti, GRS 2.0 memberi penekanan kepada projek angkat melibatkan pembinaan, pembaikan dan naik taraf infrastruktur awam yang dikenal pasti sebagai keutamaan di setiap daerah.
Mengulas lanjut, Ahmad Azri berkata inisiatif cetusan idea Raja Muda Selangor itu mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Baginda dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri ini.
Katanya, Yayasan MBI telah dipertanggungjawabkan Kerajaan Negeri sebagai agensi penyelaras bagi menggerakkan serta menguruskan pembiayaan projek-projek angkat di bawah program berkenaan.
"Di Gombak sahaja, tiga projek angkat telah dipilih untuk lawatan Raja Muda. Di seluruh sembilan daerah Selangor pula, setiap daerah mempunyai antara dua hingga tiga projek.
"Semua projek telah dikenal pasti dan diluluskan sebelum pelancaran siri pertama GRS 2.0 di Petaling hasil perbincangan melibatkan Pejabat Raja Muda Selangor dan EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail," katanya.

Mengenai projek angkat di SK Sungai Kertas yang akan dilaksanakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), beliau berkata ia melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan pintu masuk sekolah dengan perhentian bas serta kawasan perumahan berhampiran.
Menurutnya, projek itu akan memudahkan pergerakan murid ke sekolah, khususnya mereka yang diturunkan ibu bapa di kawasan bawah selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
"Projek ini dianggarkan menelan kos RM450,000 dan dijangka siap pada Oktober dalam tempoh pelaksanaan selama 17 minggu," katanya.









