SHAH ALAM, 19 OKT: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki menyalahgunakan gambar Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor bagi memperdaya orang ramai dalam urusan pembelian rumah dan kenderaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Dato' Kahar berkata satu kertas siasatan dibuka susulan laporan diterima daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor di Istana Mestika pada 15 Oktober lalu.
Menurutnya, laporan yang diterima pada jam 9.53 pagi itu berkaitan satu hantaran di platform Threads oleh pemilik profil 'dwan_hamid'.
"Hantaran itu mendakwa terdapat seorang lelaki menyamar sebagai pembantu peribadi kepada Raja Muda Selangor dan menggunakan gambar baginda untuk memperdaya orang ramai dalam urusan pembelian rumah dan kenderaan serta disyaki telah mengambil wang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Sementara itu, Shazeli berkata polis mengambil maklum kenyataan Pejabat Istana Alam Shah di Klang pada 18 Oktober yang menegaskan bahawa perkara tersebut dipandang serius.
Katanya, pihak istana menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, adil dan telus.
"Pihak istana turut menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak akan dilindungi sekiranya didapati terlibat dalam kes ini," katanya.
Sehubungan itu, Shazeli menasihati orang ramai supaya berwaspada dan membuat pengesahan melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.







