SHAH ALAM, 16 JUN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Perlis serta beberapa daerah di Kedah, Sabah dan Sarawak sehingga jam 4 petang ini.
Menurut agensi itu, seluruh Perlis dijangka mengalami cuaca buruk, manakala di Kedah amaran melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap.
Di Sarawak, kawasan yang dijangka terjejas ialah Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman, selain Julau di Sarikei, Kanowit di Sibu, Song dan Kapit di Bahagian Kapit, serta Marudi di Miri dan Limbang.
Sementara itu, di Sabah amaran dikeluarkan bagi Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan di Pedalaman, selain Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud di Pantai Barat.
Turut terlibat ialah Kinabatangan dan Sandakan di Bahagian Sandakan serta Pitas dan Kudat di Bahagian Kudat.
"Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat petunjuk cuaca yang menunjukkan hujan berintensiti melebihi 20 milimeter sejam hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
"Amaran ribut petir merupakan amaran cuaca jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya dalam kenyataan.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi saluran rasmi MetMalaysia dari semasa ke semasa.






