SHAH ALAM, 15 JUN: Polis Selangor menumpaskan empat sindiket penipuan dalam talian menerusi beberapa siri serbuan di Kajang, Seri Kembangan dan Shah Alam antara 8 hingga 10 Jun lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Kajang, IPD Serdang dan IPD Shah Alam.
Menurut beliau, sindiket terbabit menjalankan pelbagai penipuan termasuk tawaran kerja palsu, pelaburan tidak wujud dan love scam.
“Seramai 41 warga asing berusia antara 18 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan di beberapa premis kediaman. Mereka terdiri daripada 30 lelaki dan 11 wanita,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Shazeli berkata siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai beroperasi antara Januari hingga April tahun ini dengan menyasarkan mangsa dari Eropah, Amerika Syarikat dan China.
Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai peralatan elektronik dan wang tunai dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM409,200.
Antara yang dirampas ialah 74 unit telefon bimbit, 24 komputer riba, enam router dan dua modem.
Beliau berkata semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah.
“Sebahagian daripada suspek juga telah dituduh di mahkamah mengikut seksyen berkaitan,” katanya.
Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat dan menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap pelbagai taktik penipuan dalam talian.










