SHAH ALAM, 16 JUN: Penduduk sekitar Bukit Gasing dipelawa menghadiri program "Meet Your ADUN" (Temui ADUN Anda) yang akan berlangsung pada 21 Jun ini bermula jam 8.30 pagi.
Program yang diadakan di Padang Jalan 5/57, berhadapan Sunraj Curry House itu menjadi platform untuk masyarakat berinteraksi secara langsung dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R. Rajiv.
Menurut beliau, program berkenaan memberi peluang kepada penduduk menyampaikan pandangan, berkongsi cadangan serta mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan di kawasan Bukit Gasing.
“Menariknya, sempena sambutan Hari Bapa, penghargaan khas turut disediakan buat para bapa. Sesi urutan percuma akan diberikan berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat,” katanya menerusi Facebook.
Selain itu, Jualan Rahmah MADANI turut diadakan di lokasi sama sehingga jam 12 tengah hari, menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Rajiv berkata orang ramai digalakkan membawa ahli keluarga untuk bersama-sama memeriahkan program tersebut.
“Kehadiran anda amat dialu-alukan bagi mengeratkan hubungan antara komuniti dan wakil rakyat setempat, selain bersama-sama membangunkan Bukit Gasing menjadi kawasan yang lebih baik untuk semua,” katanya.








