SHAH ALAM, 3 OGOS: Sebanyak 202 premis perniagaan yang beroperasi di kawasan kediaman di PJ Old Town berpeluang mendapatkan lesen perniagaan sementara menerusi inisiatif pemutihan yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mulai 1 September ini.
Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata langkah itu memberi penyelesaian kepada premis yang telah lama beroperasi, termasuk sejak 1960-an, namun tidak dapat memohon lesen kerana berada di kawasan yang dizonkan sebagai kediaman.
Menurutnya, semua premis yang dikenal pasti terletak di sepanjang jalan utama dan bukannya di tengah-tengah kawasan perumahan.
"Pemilik premis boleh memohon lesen sementara yang perlu diperbaharui setiap enam bulan. Bagaimanapun, mereka perlu memberi komitmen untuk tidak melakukan sebarang pengubahsuaian tambahan terhadap premis.
"Bagi pengusaha makanan dan minuman, mereka juga perlu mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan lesen ditarik balik," katanya memetik laporan The Star.

Rajiv berkata mereka yang ingin menukar status hartanah kediaman kepada lot komersial secara kekal masih perlu mendapatkan kelulusan perancangan daripada MBPJ.
Beliau menjelaskan inisiatif pemutihan itu hanya melibatkan premis sedia ada yang telah dikenal pasti pihak berkuasa tempatan.
"Tiada lagi alasan untuk premis berkenaan terus beroperasi tanpa lesen," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pemilik premis tidak perlu merobohkan pengubahsuaian sedia ada kecuali jika didapati menceroboh rizab jalan atau kawasan awam.
Katanya, pemilik rumah juga tidak diwajibkan menukar status guna tanah kerana proses itu boleh membebankan mereka dari segi kos.
Sementara itu, pemilik kedai elektrik, Loh Fung Yee yang telah berniaga di PJ Old Town lebih sedekad menyifatkan inisiatif itu sebagai berita yang dinantikan.
Katanya, sebelum ini beliau menerima saman daripada MBPJ kira-kira dua kali setahun dengan jumlah denda mencecah RM1,000 bagi setiap kesalahan.
"Saya mahu memohon lesen kerana ingin mematuhi syarat yang ditetapkan. Sekurang-kurangnya kami tidak lagi perlu bimbang dikenakan saman," katanya.
Pengerusi Rukun Tetangga Seksyen 1, Kok Kuan Yong pula berkata,langkah MBPJ itu memberi manfaat kepada peniaga dan komuniti setempat memandangkan kebanyakan premis terbabit telah lama beroperasi, termasuk sejak tahun 1960-an.
Turut hadir, Ahli Majlis MBPJ, Tan Wei Kiat yang menggesa semua peniaga yang layak supaya memanfaatkan peluang memohon lesen sementara itu.







