SHAH ALAM, 15 JUN: Pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bagi mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas penuntut universiti yang didapati bersalah membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil di Sabak Bernam.
Peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 23, berkata notis rayuan itu difailkan pihak pendakwaan pada 25 Mei lalu selepas Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan sebelum ini kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Menurutnya, rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan mencabar keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung hukuman tersebut.
"Muhammad Fakrul Aiman kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, menerima keputusan panel hakim Mahkamah Rayuan itu kerana menganggap penghakiman panel hakim adil, saksama dan bebas daripada sebarang kesilapan yang memerlukan cabaran selanjutnya," kata peguam seperti dilapor Sinar Harian.
Sebelum ini, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau, Sabak Bernam antara jam 8.30 malam pada 22 Mei hingga 8 pagi, 23 Mei 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pada 15 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Muhammad Fakrul Aiman selepas mengambil kira keseriusan jenayah yang disifatkan sebagai kejam dan dirancang.
Hakim Norazlin Othman ketika itu memutuskan kes berkenaan memerlukan hukuman berat memandangkan perbuatan dilakukan bukan secara spontan, sebaliknya mempunyai unsur perancangan.
Bagaimanapun, pada 14 Mei lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman mati tersebut dan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun serta 12 sebatan.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun.
Panel berkenaan turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Mei 2023.
Antara pertimbangan utama mahkamah ialah usia perayu yang masih muda ketika kejadian berlaku serta kewujudan pilihan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.







