Kes bunuh, bakar kekasih hamil: Pemuda rayu keputusan hukuman gantung

28 Okt 2025, 7:58 AM
Kes bunuh, bakar kekasih hamil: Pemuda rayu keputusan hukuman gantung

SHAH ALAM, 28 OKT: Seorang pemuda yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di Sabak Bernam, dua tahun lalu kini memfailkan rayuan bagi mengurangkan hukuman tersebut.

Peguam Muhammad Nor Tamrin, yang mewakili Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, dipetik NST sebagai berkata notis rayuan terhadap keputusan hukuman tersebut difailkan di Mahkamah Rayuan pada 20 Oktober melalui firma guaman Messrs M. Nor & Partners.

Menurut dokumen mahkamah, rayuan difailkan bagi mencabar keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Klang, Norliza Othman, pada 15 Oktober lalu, yang mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan tersebut sebelum menjatuhkan hukuman mati mandatori.

Muhammad Nor memaklumkan anak guamnya kini ditahan di Penjara Kajang.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Norliza menyifatkan jenayah dilakukan tertuduh sebagai “kejam dan dirancang,” justeru memerlukan hukuman lebih berat jika dibandingkan dengan jenayah bersifat spontan.

Beliau berkata, tindakan tertuduh bukan sahaja meragut nyawa mangsa, malah turut mengorbankan bayi dalam kandungan berusia 18 minggu.

Laporan bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kesan bakar yang meliputi hampir seluruh tubuh mangsa.

Lebih sadis, di bahagian perut mangsa terdapat usus dan kandungan yang terkeluar selain kesan-kesan luka tikam dan hiris di abdomen serta tapak tangan.

Siasatan awal mendapati suspek turut memukul kepala mangsa menggunakan kayu sehingga terjatuh sebelum mengheretnya ke tepi parit dan menikam perut serta mengelar bahagian leher.

Dalam rayuannya, Muhammad Nor berhujah anak guamnya telah dijadikan sebagai kambing hitam susulan laporan DNA (Asid Deoksiribonukleik) Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan bahawa janin berusia 18 minggu itu bukan milik Muhammad Fakrul. ‎

‎Beliau berkata anak guamnya juga berdepan tekanan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya suami kepada sepupu mangsa dan menggugut tertuduh untuk bertanggungjawab terhadap kandungan tersebut.

‎"Tertuduh merupakan seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi dan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan juga disiplin serta menunjukkan pencapaian cemerlang dengan gred keputusan peperiksaan terakhirnya ialah 3.80," katanya.

Pada 1 Jun 2023, Muhammad Fakrul didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Besar atas tuduhan membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara jam 8.30 malam 22 Mei hingga 8 pagi 23 Mei 2023.