120,000 pelajar di Selangor nikmati sarapan percuma mulai Ogos - MB

15 Jun 2026, 9:00 AM
120,000 pelajar di Selangor nikmati sarapan percuma mulai Ogos - MB
120,000 pelajar di Selangor nikmati sarapan percuma mulai Ogos - MB

SHAH ALAM, 15 JUN: Kira-kira 120,000 pelajar sekolah di Selangor bakal menerima manfaat program bantuan sarapan percuma yang akan dilaksanakan bermula Ogos ini menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sudah mengenal pasti pelajar yang layak melalui data diperoleh daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi memastikan bantuan disalurkan kepada kumpulan sasaran.

“Pemberian bantuan ini melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah, sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta institusi pendidikan yang berdaftar dengan JPN Selangor.

“Kerajaan Negeri mengambil sedikit masa sebelum pelaksanaan pada Ogos bagi memastikan aspek kualiti dan keselamatan makanan dipatuhi mengikut kriteria yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, tengah hari tadi.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis Pelancaran Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa 1 di Bilik Gerakan MTES pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 15 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata program sarapan percuma itu tidak melibatkan kira-kira 55,000 pelajar di Selangor yang menerima manfaat Program Makanan Tambahan (RMT).

“Kaedah pelaksanaan program sarapan percuma oleh Kerajaan Negeri berkenaan hampir sama seperti RMT dengan pemberian makanan dijangka dilaksanakan antara dua hingga tiga kali seminggu.

“Program ini memberi tumpuan kepada kelompok yang terkesan seperti pelajar yang kurang mampu, tidak sempat untuk bersarapan sebelum memulakan sesi persekolahan serta ibu bapa yang terikat dengan waktu kerja mengikut syif,” ujarnya.

Pada 16 April lalu, Amirudin mengumumkan pelaksanaan bantuan sarapan percuma kepada pelajar di 873 sekolah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula Ogos ini.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta yang diperkenalkan bagi mendepani cabaran kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.