Sarapan percuma Selangor ringankan beban keluarga, bantu pelajar lebih fokus

17 Apr 2026, 9:23 AM
Sarapan percuma Selangor ringankan beban keluarga, bantu pelajar lebih fokus
Sarapan percuma Selangor ringankan beban keluarga, bantu pelajar lebih fokus

SHAH ALAM, 17 APRIL: Inisiatif sarapan pagi percuma dilaksanakan Kerajaan Selangor bermula Ogos ini berupaya meringankan beban keluarga selain membantu pelajar lebih fokus di sekolah.

Tinjauan Media Selangor mendapati langkah itu disambut baik orang ramai kerana ia bukan sahaja memudahkan pelajar mendapatkan sarapan sebelum kelas, malah turut mengurangkan perbelanjaan harian ibu bapa.

Seorang pesara, Abd Halim Mahmud, 68, berkata program tersebut memberi manfaat khususnya kepada pelajar yang ibu bapa mereka tidak sempat menyediakan sarapan sebelum ke sekolah.

Pesara, Abd Halim Mahmud, 68. Foto FAIZ/MEDIA SELANGOR

“Bagus untuk kanak-kanak. Sekurang-kurangnya mereka boleh makan dahulu sebelum masuk kelas.

“Kalau lapar, memang susah nak fokus. Tapi bergantung juga kepada jenis makanan yang disediakan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, inisiatif itu juga mampu menjimatkan perbelanjaan harian ibu bapa sekitar RM3 hingga RM4 sehari, sekali gus memberi kesan ketara dalam tempoh sebulan.

Pada masa sama, beliau berharap penyedia makanan menitikberatkan aspek kebersihan dan kualiti bagi mengelak insiden keracunan makanan.

Sarvina Kantharaj, 47. Foto FAIZ/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Sarvina Kantharaj, 47, yang mempunyai dua anak bersekolah berkata bantuan tersebut relevan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kalau kerajaan sediakan sarapan, ia dapat kurangkan beban sebab kita tak perlu bagi banyak wang saku kepada anak-anak.

“Perbelanjaan harian dapat dikurangkan dan memang membantu keluarga,” katanya.

Beliau turut berharap program berkenaan dilaksanakan secara konsisten selain menekankan kepentingan penyediaan makanan sihat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan hidangan seimbang.

Selia Chyn, 69. Foto FAIZ/MEDIA SELANGOR

Bagi Selia Chyn, 69, kemudahan sarapan di sekolah memudahkan pelajar yang sering tergesa-gesa pada waktu pagi.

“Sekurang-kurangnya mereka tak perlu keluar cari makan. Datang sekolah terus boleh sarapan.

“Harap makanan yang diberi mencukupi dan berkualiti,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelaksanaan bantuan sarapan percuma kepada pelajar di 873 sekolah melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula Ogos ini.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta yang diperkenalkan bagi mendepani cabaran kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.