Selangor catat KDNK per kapita lebih tinggi berbanding Johor - EXCO

15 Jun 2026, 7:47 AM
Selangor catat KDNK per kapita lebih tinggi berbanding Johor - EXCO
Selangor catat KDNK per kapita lebih tinggi berbanding Johor - EXCO

SHAH ALAM, 15 JUN: Selangor mempunyai kedudukan ekonomi lebih kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang lebih tinggi berbanding Johor, kata EXCO Pelaburan.

Ng Sze Han berkata pembangunan ekonomi Selangor dipacu menerusi pendekatan lebih mampan melalui Pembangunan Ekonomi Tempatan (LED) dan tidak bergantung semata-mata kepada pelaburan projek berskala besar.

“Kami telah memperkenalkan LED serta menetapkan syarat kandungan tempatan sebanyak 30 peratus bagi pelaburan pusat data baharu supaya manfaatnya dapat dirasai oleh perniagaan dan pekerja tempatan.

“Melalui inisiatif Speed Selangor pula, kami sedang mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan proses kelulusan perancangan, pembangunan serta permit perniagaan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan banyak kelulusan kini dapat diselesaikan dalam tempoh 30 hari,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika mengulas hantaran Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung perbandingan pembangunan dan prestasi ekonomi antara Johor dan Selangor yang tular sejak beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Sze Han menegaskan tiada keperluan untuk mewujudkan persaingan ekonomi antara negeri, sebaliknya perkara lebih penting ialah dasar dan pelaksanaan pembangunan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.

Sebagai contoh, katanya, pembinaan Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia yang pertama di negara ini dan terbesar di Asia Tenggara bukan diwujudkan untuk bersaing dengan mana-mana pihak.

Beliau percaya setiap negeri mempunyai peranan tersendiri dan negara akan menjadi lebih kukuh apabila semua negeri dapat memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.

“Sama ada seseorang berkhidmat di peringkat negeri mahupun persekutuan, tanggungjawabnya tetap sama: berkhidmat kepada rakyat dengan jujur dan bekerja demi kepentingan seluruh negara.

“Itulah piawaian yang Selangor tetapkan untuk dirinya, dan itulah juga prinsip yang akan terus kami pertahankan,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.