SHAH ALAM, 12 NOV: Empat tindakan utama diberi penekanan bagi menangani masalah banjir berulang di Selangor, termasuk memperkukuh sistem amaran awal, meningkatkan penyelarasan pengurusan bencana serta mencari penyelesaian terhadap banjir kilat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu turut merangkumi penelitian terhadap amalan terbaik pengurusan banjir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, perkara berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, petang tadi.
“Saya mahu setiap tindakan ini dilaksanakan dengan segera, termasuk mempercepat usaha tebatan banjir dan penambahbaikan sistem saliran bagi mengurangkan risiko banjir berulang,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Amirudin berkata usaha memperkukuh sistem amaran awal melibatkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), manakala penyelarasan pengurusan bencana akan dipertingkat menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memberi tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian terhadap masalah banjir kilat di negeri ini.
Sementara itu, Anwar menegaskan kepentingan penyelenggaraan sungai, parit, sistem saliran, kolam tadahan dan pintu air bagi memastikan semua kemudahan berfungsi dengan baik.
Menurut beliau, semua agensi berkaitan diarahkan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, mempercepat pembersihan saliran tersumbat serta memperkukuh pemantauan paras air.
Beliau turut mengarahkan supaya projek tebatan banjir dilaksanakan mengikut perancangan.
"Mesyuarat turut meneliti keperluan mangsa banjir, khususnya urusan pemindahan, penempatan sementara, bekalan keperluan asas dan bantuan kepada keluarga terjejas.
"Keselamatan penduduk, penyampaian bantuan dan pelaksanaan langkah mitigasi perlu terus menjadi keutamaan bagi mengurangkan risiko banjir berulang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata perhatian khusus diberikan kepada kawasan yang sering dilanda banjir, terutama di daerah Petaling dan Kuala Selangor.

Setakat 12 November, sebanyak 1,180 mangsa banjir direkodkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri wakil Kerajaan Negeri, EXCO, Ahli Dewan Negeri, Pegawai Daerah serta agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kebajikan mangsa terus menjadi keutamaan menerusi Bantuan Khas Bencana Banjir Rakyat Selangor sebanyak RM3,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang layak, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
“Saya memahami keresahan rakyat, khususnya mereka yang berulang kali berdepan musibah banjir.
“Justeru, saya mahu setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan nyata serta merta, bukan sekadar hanya perbincangan,” katanya.









