SHAH ALAM, 13 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggesa pemilik bangunan mematuhi keperluan Pemeriksaan Bangunan Berkala (MBCS-MBPJ) bagi memastikan bangunan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terpelihara.
Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MBPJ Mohd Fauzi Maarop berkata pemeriksaan itu penting terutama bagi bangunan berusia lebih 10 tahun bagi mengesan sebarang kerosakan atau risiko keselamatan lebih awal.

Menurut beliau, pemeriksaan berkala bukan sahaja memenuhi keperluan perundangan di bawah Seksyen 85A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), malah membantu meningkatkan kualiti penyelenggaraan bangunan.
“Melalui pemeriksaan yang dilaksanakan secara berkala, sebarang isu atau kelemahan dapat dikenal pasti lebih awal sebelum menjejaskan keselamatan penghuni dan pengguna bangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Bangunan Berprestasi Tinggi 2026 dan Taklimat Pemantapan Kecekapan Mandatori Pemeriksaan Bangunan Berkala di M Resort & Hotel, Petaling Jaya.

Pada majlis sama, seramai 22 pemilik bangunan menerima Anugerah Bangunan Berprestasi Tinggi 2026 sebagai pengiktirafan atas komitmen melaksanakan pemeriksaan bangunan berkala sehingga memperoleh Sijil Penyempurnaan Pemeriksaan (SPPB/CCI) 2025.
MBPJ berharap lebih ramai pemilik bangunan mengambil langkah proaktif melaksanakan pemeriksaan berkala bagi mewujudkan persekitaran bangunan yang selamat dan mampan.







