SHAH ALAM, 14 JUN: Empat individu termasuk seorang bayi berusia setahun maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 43 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, Kuantan petang tadi.
Dalam kejadianjam 4.25 petang itu, mangsa terdiri daripada seorang lelaki, dua wanita dan seorang bayi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap treler yang terbalik.
Rakaman video dan gambar kejadian yang tular di media sosial menunjukkan sebuah treler terbalik di pembahagi jalan, manakala sebuah kereta berada di bawah kenderaan berat berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong menggerakkan lima anggota ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Kemalangan membabitkan sebuah Honda City dinaiki empat individu dan sebuah treler membawa habuk kayu. Semua mangsa berusia antara setahun hingga 58 tahun terperangkap dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata pemandu lori berusia 40 tahun mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
“Sebuah jengkaut digunakan bagi mengangkat treler dan mengeluarkan mangsa dari kereta,” katanya.
Mohd Salahuddin berkata, mayat semua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala pemandu lori yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Menurutnya, operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa tamat sepenuhnya pada jam 6.30 petang.
Setakat ini, identiti keempat-empat mangsa serta hubungan mereka masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.







