JOHOR BAHRU, 4 JUN: Remaja lelaki yang direman bagi membantu siasatan memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan empat sekeluarga maut dalam nahas di Simpang Renggam dekat Kluang, ditahan semula untuk siasatan membunuh.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata remaja berusia 19 tahun itu direman dua hari bermula 2 Jun sebelum disambung sehari pada hari ini mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Bagi tangkapan sebelum ini, (suspek) diberikan jaminan polis (selepas selesai tempoh reman). Reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan dibuat di Mahkamah Kluang esok.
“Bagaimanapun, siasatan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 masih diteruskan berdasarkan video tular yang menunjukkan kenderaan berkenaan dipandu laju dan melulu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin sebelum ini dilaporkan berkata kemalangan pada Isnin lepas di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam itu menyebabkan empat sekeluarga yang menaiki Toyota Vios termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Remaja itu disyaki memandu kereta Mercedes Benz A250 secara melulu dan berbahaya bersama-sama sebuah kereta BMW 530e dipandu abangnya berusia 22 tahun, yang turut maut ketika dalam perjalanan ke hospital.
Kemalangan berlaku apabila BMW 530e hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz.








