Wanita maut selepas kereta dirempuh treler langgar lampu merah

20 Okt 2026, 1:19 AM
Wanita maut selepas kereta dirempuh treler langgar lampu merah

SHAH ALAM, 20 OKT: Seorang wanita berusia 26 tahun maut selepas kereta Perodua Axia dipandunya dirempuh treler yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Kilometer 4.7 Jalan Machang-Tanah Merah, berhampiran persimpangan lampu isyarat Wakaf Bata, Machang malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata siasatan awal mendapati treler jenis Volvo yang dipandu lelaki tempatan berusia 47 tahun itu dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke Machang.

“Treler berkenaan dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan terbabit sebelum merempuh bahagian sisi kanan Perodua Axia yang bergerak dari arah Padang Kelupang menuju ke Tanah Merah.

“Rempuhan kuat menyebabkan pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata pemandu treler ditahan selepas polis merampas empat bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi cecair disyaki air ketum.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi talian 011-10085165 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.