Lelaki maut kereta bergesel treler, saksi diminta tampil salur maklumat

2 Apr 2026, 2:22 AM
Lelaki maut kereta bergesel treler, saksi diminta tampil salur maklumat

SHAH ALAM, 2 APRIL: Orang ramai yang menyaksikan kemalangan maut membabitkan sebuah kereta di Belia 2, Jalan Sungai Panjang, Sungai Besar semalam diminta tampil membantu siasatan polis.

Ketua polis daerah Sabak Bernam berkata kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu melibatkan sebuah Proton Iswara dinaiki tiga sekeluarga dalam perjalanan dari Sungai Panjang ke Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Menurut Superintendan Md Yusof Ahmad, kenderaan terbabit dipercayai bergesel dengan sebuah treler yang nombor pendaftaran serta jenisnya masih belum dikenal pasti, lapor Berita Harian.

"Akibat pergeseran itu, Proton Iswara hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan, melanggar besi penghadang dan terbalik," katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau berkata pemandu kereta, lelaki berusia 48 tahun, tersepit dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isteri mangsa berusia 36 tahun yang berada di tempat duduk hadapan pula patah bahu dan kaki kanan, manakala anak perempuan pasangan itu berusia dua tahun cedera ringan pada muka.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk rawatan lanjut," jelas Md Yusof.

Beliau turut memaklumkan usaha mengesan pemandu treler terbabit sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 bagi membantu siasatan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.