KUALA LUMPUR, 14 JUN: Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan empat nyawa di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) petang tadi, dikesan mempunyai 15 rekod saman trafik.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata polis juga telah mengambil sampel darah lelaki berusia 40 tahun itu bagi tujuan analisis toksikologi.
Beliau berkata pemandu lori berkenaan kini sedang menerima rawatan lanjut akibat kecederaan di bahagian kepala dan pinggul.
“Siasatan lanjut dijalankan bagi melengkapkan siasatan serta mengenal pasti punca kejadian secara keseluruhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata dalam kejadian jam 4.30 petang itu, treler membawa muatan habuk besi berkenaan menghempap kereta Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun bersama tiga penumpang berusia antara setahun hingga 58 tahun.
Beliau berkata siasatan awal mendapati treler tersebut dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju Kuantan sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan menuruni bukit dan berselekoh di lokasi kejadian.
"Lori terbabit kemudian terbalik ke sebelah kiri jalan sebelum menghempap sebuah kereta yang berada di lorong kiri.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu dan tiga penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kesemua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk proses bedah siasat esok,” katanya.
Terdahulu, sepasukan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengambil masa kira-kira dua jam bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.
Difahamkan, treler berkenaan turut terbakar ketika operasi mengalihkan kenderaan sedang dijalankan selepas kesemua mangsa berjaya dikeluarkan.







