SABAK BERNAM, 14 JUN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM915 juta bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan sejak 2015 hingga Mei lalu.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata pembiayaan itu memberi manfaat kepada seramai 62,000 usahawan di seluruh Selangor menerusi 94,200 pembiayaan yang diluluskan sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut beliau, Sabak Bernam antara daerah yang menunjukkan perkembangan positif apabila 8,013 pembiayaan bernilai RM59 juta disalurkan kepada 4,785 usahawan mikro.
Katanya, pencapaian itu membuktikan potensi besar pembangunan keusahawanan di daerah berkenaan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro yang terus berkembang.
“Di Sabak Bernam sahaja, 8,013 pembiayaan bernilai RM59juta disalurkan kepada 4,785 usahawan mikro. Ini mncerminkan potensi besar pembangunan keusahawanan di daerah ini.

“Maksudnya, daripada 4,785 usahawan, mereka ini bukan hanya pinjam sekali…ada yang dia dah pinjam, dah habis bayar, dia pinjam lagi,” katanya selepas merasmikan Program Hijrah Innovation & Growth Hub di Ruang Daya Cipta Sabak Bernam hari ini.
Terdahulu, Hijrah Selangor menubuhkan hub inovasi perniagaan di Sabak Bernam bagi membantu pengukuhan ekosistem usahawan luar bandar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor, Dato’ Mearia Hamzah berkata trend pembayaran pembiayaan ushawan mencatat peningkatan sejak dua tahun.
“Untuk dua tahun lalu, pembayaran lebih daripada 95 peratus untuk bayaran balik. Jadi kita harap momentum ini akan berterusan.
“Ada peningkatan dan kalau bayar balik tu bagus, jadi dana tu kita boleh salurkan pada usahawan lain yang memerlukan," katanya.
Untuk rekod, Hijrah Selangor menawarkan dua skim pembiayaan untuk usahawan iaitu Skim NIAGA PLUS yang dahulu dikenali sebagai i-Bisnes.
Skim tersebut menawarkan pembiayaan hingga RM50,000 untuk membantu mengembangkan perniagaan usahawan mikro, kecil dan sederhana.
Selain itu, Skim SURI PLUS yang dijenamakan dari Niaga Darul Ehsan (NaDI) pula menyediakan modal sehingga RM50,000 khas untuk kumpulan usahawan wanita mengembangkan perniagaan.










