KUALA LUMPUR, 14 JUN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hampir di semua negeri dan Kuala Lumpur hingga 9 malam ini.
MetMalaysia menerusi amaran pada 4.35 petang memaklumkan cuaca buruk itu diramal berlaku di seluruh Perlis, Pulau Pinang, Perak serta Kuala Lumpur.
Di Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
Di Kedah, kawasan terlibat ialah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Kelantan hanya melibatkan Gua Musang.
Bagi Pahang, amaran meliputi Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Bera serta Rompin.
Di Negeri Sembilan, kawasan terjejas ialah Jelebu, Jempol dan Tampin, manakala di Melaka melibatkan Jasin serta beberapa daerah di Johor, iaitu Tangkak, Segamat, Muar, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
Bagi Sarawak, kawasan diramal mengalami cuaca itu ialah Sebauh (Bintulu), Beluru, Telang Usan, Miri dan Marudi (Miri) serta seluruh bahagian Limbang.
Di Sabah pula amaran dikeluarkan bagi seluruh bahagian Pedalaman dan Pantai Barat, selain Tongod serta Telupid (Sandakan) dan Kota Marudu (Kudat).






