SHAH ALAM, 14 JUN: Orang ramai dinasihat menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka susulan fenomena El Nino yang diramal di beberapa kawasan sehingga awal 2027.
Fenomena itu menyebabkan cuaca lebih panas dan kering, selain jumlah hujan berkurang, yang turut berisiko menjejaskan bekalan air, mencetus kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu di negara ini.
Ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berkata pihaknya memantau rapi perkembangan El Nino yang dijangka mula mempengaruhi cuaca negara dalam tempoh terdekat.
Menurut Dr Mohd Hisham Mohd Anip, pihaknya juga komited menyediakan maklumat cuaca tepat pada masanya bagi membantu negara membuat persediaan awal menghadapi risiko cuaca ekstrem.
“Fenomena ini dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa, khususnya sepanjang Monsun Barat Daya sejak 14 Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga September depan," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, MET Malaysia memperkukuh penyampaian maklumat cuaca dan amaran awal kepada kerajaan, agensi berkaitan dan orang ramai sebagai langkah kesiapsiagaan berdepan fenomena itu.
Dr Mohd Hisham berkata lebih 70 sesi taklimat, mesyuarat dan program libat urus berkaitan cuaca panas dan kering dianjurkan jabatan itu di pelbagai agensi sehingga Jun lalu.
Ia termasuk taklimat kepada Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam , Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Jabatan Pertanian Malaysia serta pembentangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah di seluruh negara.
"MET Malaysia juga menyediakan ramalan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut sehingga tujuh hari ke hadapan, mengeluarkan ramalan jerebu serta bersedia membantu pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) sekiranya diperlukan dan keadaan cuaca mengizinkan," jelasnya.
Maklumat cuaca terkini boleh didapati melalui aplikasi myCuaca dan laman web MET Malaysia.
Semalam, Dato’ Menteri Besar menjagka sumber air di Selangor mampu bertahan sehingga sembilan bulan susulan fenomena El Nino, dengan cuaca lebih kering serta taburan hujan berkurangan.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, keupayaan itu disokong menerusi pelaksanaan Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) dan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang memperkukuh jaminan bekalan air.







