KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Fenomena El Nino berintensiti sangat kuat atau Super El Nino yang dijangka berlaku penghujung tahun ini berpotensi menyebabkan cuaca panas dan kering ekstrem di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, beberapa kawasan berpotensi merekodkan suhu sehingga 40 darjah Celsius antara Januari hingga Mei 2027, lapor Berita Harian.
Menurutnya, berdasarkan ramalan model iklim daripada pusat pencerapan dan penyelidikan antarabangsa, kebarangkalian fenomena itu berlaku kini menghampiri 100 peratus.
“Rekod meteorologi terdahulu menunjukkan episod El Nino sangat kuat sering dikaitkan dengan peningkatan suhu, cuaca kering dan risiko jerebu yang serius.
“Pengalaman ketika episod Super El Nino pada 1997/1998 dan 2015/2016 menunjukkan suhu maksimum harian negara ketika itu lebih ekstrem berbanding tempoh lain,” katanya.
Mohd Hisham berkata suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius pernah direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998, manakala 39.3 darjah Celsius dicatatkan di Stesen Meteorologi Batu Embun, Jerantut, Pahang pada 10 April 2016.
Beliau berkata terdapat kebarangkalian sekitar 70 peratus bahawa intensiti El Nino kali ini akan mengatasi kekuatan episod El Nino yang pernah direkodkan sejak 1950.
“Keadaan itu berpotensi menyebabkan kawasan utara dan pedalaman Semenanjung serta pedalaman Sabah dan Sarawak merekodkan suhu lebih tinggi daripada kebiasaan.
“Ia turut meningkatkan risiko cuaca panas dan gelombang haba bermula penghujung Monsun Timur Laut pada Januari hingga Mei 2027,” katanya.
Menurutnya, lebih banyak stesen meteorologi di utara Semenanjung berkemungkinan merekodkan suhu sehingga 40 darjah Celsius ketika kemuncak musim panas dalam tempoh berkenaan.
Katanya, peningkatan suhu dan cuaca panas berpanjangan boleh meningkatkan risiko gelombang haba serta memberi kesan kepada kesihatan, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang melakukan aktiviti luar.
“Pengurangan taburan hujan dan tempoh kering yang lebih panjang berpotensi memberi tekanan kepada sumber air termasuk kawasan tadahan dan empangan, selain menjejaskan sektor pertanian serta industri yang sensitif terhadap kekurangan air.
“Cuaca panas dan kering berpanjangan juga menjadikan kawasan vegetasi lebih mudah terbakar, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu pada skala tempatan mahupun rentas sempadan,” katanya.








