SHAH ALAM, 7 OKT: Fenomena El Nino dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun depan dan berpotensi mencapai tahap ‘super’ atau sangat kuat mulai bulan ini hingga Januari 2027.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko cuaca lebih panas dan kering serta kejadian pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan jerebu.
Beliau berkata analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan fenomena El Nino boleh menyebabkan taburan hujan lebih rendah serta cuaca lebih panas dan kering.
"Situasi itu menyumbang kepada risiko kejadian pembakaran terbuka khususnya di tanah gambut, hutan, belukar dan tapak pelupusan sampah yang boleh menyebabkan jerebu," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) mengenai kesediaan negara menghadapi cabaran El Nino serta usaha berunding dengan negara jiran bagi mewujudkan akta menangani isu jerebu merentas sempadan.
Arthur berkata sebagai antara langkah mengurangkan risiko impak El Nino dan menangani jerebu, sebanyak lapan siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan di seluruh negara antara 30 Ogos hingga 3 Oktober lalu.
Katanya, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama MetMalaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), membabitkan kawasan di utara, tengah dan selatan Semenanjung serta Sarawak ketika episod jerebu merentas sempadan.
"Operasi berkenaan menghasilkan hujan di beberapa kawasan sasaran. Pelaksanaan OPA ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan penilaian keperluan dan keadaan cuaca serta kesesuaian atmosfera," katanya.
Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama agensi berkaitan turut melaksanakan pelbagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi fenomena El Nino.
Katanya, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) yang menyediakan garis panduan tindakan meliputi aspek pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan terhadap semua jenis pembakaran terbuka sudah diaktifkan sejak 15 Februari lalu.
"Selain itu, Prosedur Tetap Operasi (PTO) bagi Pelaksanaan Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut untuk mengatasi jerebu di Malaysia turut diaktifkan pada 26 Februari 2026," katanya.
Dalam pada itu, Arthur berkata kementeriannya sudah beberapa kali meneliti kewajaran penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dari pelbagai sudut, termasuk kebolehlaksanaan undang-undang, hubungan diplomatik dengan negara jiran serta pelaksanaan akta seumpamanya di negara lain.
Katanya, penelitian itu penting bagi memastikan tiada pembaziran sumber dalam usaha menggubal akta berkenaan.
"Keberkesanan sesuatu undang-undang bukan hanya bergantung kepada kewujudan peruntukan, tetapi juga keupayaan mendapatkan bukti, menjalankan siasatan dan menguatkuasakan akta terhadap pihak yang berada di luar bidang kuasa Malaysia.
"Pelaksanaan undang-undang yang mempunyai elemen merentas sempadan oleh negara ASEAN lain menunjukkan bahawa terdapat cabaran dari segi penguatkuasaan.
"Oleh itu, sebarang cadangan undang-undang baharu perlu dinilai secara menyeluruh dari segi keberkesanan, boleh dikuatkuasakan, beban pembuktian, implikasi diplomatik dan keserasiannya dengan undang-undang sedia ada," katanya.
Menurutnya, tindakan yang lebih segera ketika ini adalah memperkukuh pelaksanaan undang-undang domestik bagi mengekang pembakaran terbuka oleh setiap Negara Anggota ASEAN, selain meningkatkan perkongsian maklumat dan kerjasama penguatkuasaan antara negara.
"Ini termasuk memastikan komitmen di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) dilaksanakan sepenuhnya secara serius," katanya.







