Acara catur SUKMA dijangka tarik 5,000 pengunjung ke Sabak Bernam

14 Jun 2026, 11:00 AM
Acara catur SUKMA dijangka tarik 5,000 pengunjung ke Sabak Bernam
Acara catur SUKMA dijangka tarik 5,000 pengunjung ke Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 14 JUN: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menyasarkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung sempena penganjuran acara catur Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadual berlangsung di Dewan Seri Bernam pada Ogos depan.

Yang Dipertuanya, Awaluddin Zakaria berkata persiapan venue acara sudah selesai, manakala beberapa penambahbaikan kecil sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan atlet dan pengunjung.

Menurutnya, kerja-kerja berkenaan melibatkan kemudahan asas seperti sistem penyaman udara dan tandas bagi memastikan kelancaran penganjuran kejohanan itu nanti.

“Setakat ini, persiapan di Dewan Seri Bernam telah selesai dan venue sudah bersedia untuk digunakan. Kita kini hanya memberi tumpuan kepada beberapa penambahbaikan akhir bagi memastikan keselesaan semua pihak.

“Selain itu, MDSB turut merancang penganjuran pertandingan Catur Piala Menteri Besar yang akan melibatkan penyertaan masyarakat setempat khususnya peminat catur tempatan sebelum temasya bermula pada Ogos depan,” katanya kepada Media Selangor.

Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam Awaluddin Zakaria bercakap kepada media selepas program Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 di Dataran Bagan Terap Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 di Dataran Bagan Terap di sini, hari ini.

Awaluddin berkata pertandingan Catur Piala Menteri Besar itu bakal menjadi platform untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan berkenaan selain mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.

Menurutnya, Dewan Seri Bernam akan menjadi venue pertandingan catur SUKMA yang melibatkan acara individu dan berpasukan merangkumi kategori standard, rapid dan blitz.

Beliau berkata dewan berkenaan mempunyai kapasiti kira-kira 500 tempat duduk dan dijangka menerima kehadiran atlet, pegawai serta penyokong dari seluruh negara sepanjang temasya berlangsung.

Dalam perkembangan sama, MDSB turut membuat persiapan dari segi penginapan menerusi rangkaian inap desa dan hotel bagi menampung kehadiran pengunjung luar ke daerah itu.

Awaluddin yakin penganjuran SUKMA 2026 mampu memberi limpahan ekonomi kepada Sabak Bernam khususnya kepada sektor pelancongan, perhotelan dan perniagaan tempatan.

Katanya, status Sabak Bernam sebagai kawasan agropolitan turut berpotensi menjadi tarikan tambahan kepada pengunjung yang hadir sempena temasya sukan terbesar negara itu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.