HIGHub Sabak Bernam perkukuh usahawan luar bandar ke era digital

14 Jun 2026, 7:47 AM
HIGHub Sabak Bernam perkukuh usahawan luar bandar ke era digital
HIGHub Sabak Bernam perkukuh usahawan luar bandar ke era digital
HIGHub Sabak Bernam perkukuh usahawan luar bandar ke era digital

SABAK BERNAM, 14 JUN: Penubuhan Hijrah Innovation & Growth Hub (HIGHub) di Sabak Bernam dijangka mengukuhkan ekosistem keusahawanan luar bandar menerusi pemerkasaan pendigitalan perniagaan dan pembangunan inovasi usahawan.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata pusat sehenti inovasi yang dibangunkan Yayasan Hijrah Selangor itu dilengkapi 19 siri latihan dan aktiviti keusahawanan bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing perniagaan.

Menurutnya, HIGHub merupakan projek rintis pertama yang digerakkan di bawah Hijrah Selangor di daerah berkenaan menerusi pembangunan sebuah premis khas yang berfungsi sebagai pusat inovasi dan pembangunan usahawan.

“Ini merupakan projek rintis pertama yang digerakkan di bawah Hijrah Selangor di daerah Sabah Bernam atau pun disebut Ruang Daya Cipta Sabah Bernam di mana kita mengguna pakai satu premis untuk kita bangunkan satu pusat.

“Pusat ini boleh dimanfaatkan oleh usahawan untuk mereka mengeratkan pelbagai program dan mendapatkan khidmat nasihat ataupun perundingan daripada agensi seperti Hijrah.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berucap dalam Majlis Perasmian Hijrah Innovation & Growth HUb (HIGHub) di Ruang Daya Cipta, Sabak Bernam pada 14 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Hari ini kalau kita tengok, mereka ada program latihan dan sesi bersama-sama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan ini penting untuk kita memberikan pendedahan kepada usahawan kita merancang perniagaan dan juga kewangan mereka,” katanya.

Ditemui pada majlis perasmian, Mohd Najwan memaklumkan lebih 300 usahawan di daerah itu menerima manfaat dengan adanya penubuhan hub yang dilengkapi studio digital.

“Pada masa sama, ada juga ruang untuk melakukan aktiviti ataupun program, 'event space' dan dengan penubuhannya dapat memberikan manfaat ataupun impak kepada usahawan khususnya yang bernaung di bawah Hijrah Selangor untuk mereka menggunakan kemudahan ini dalam merancang atau buat pertemuan, mesyuarat.

“Dan yang penting adalah pengisian utama hub ini menjurus kepada pemasaran digital ataupun e-dagang dan juga menggalakkan usahawan kita terlibat ataupun didedahkan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Pada masa sama, Mohd Najwan berkata lebih banyak hub akan ditubuhkan dalam membantu usahawan khususnya di kawasan luar bandar seperti Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

“Menjelang 2030 kita sasar dalam 4,000 usahawan yang dapat manfaat daripada penubuhannya. Hijrah Selangor merancang untuk menubuhkan lebih banyak hub di daerah terutamanya daerah yang ada ramai usahawan luar bandar seperti Kuala Selangor, Hulu Selangor dan juga Kuala Langat.

“Jadi ini pilot project, InsyaAllah kita yakin akan dapat memberikan nilai tambah kepada daerah Sabak Benam, lebih penting untuk kita memberikan ruang dan peluang kepada usahawan menggunakan ruangan ini,” katanya.

Sementara itu, pengusaha Songkok Malaya Ts Mohd Hafzan Sardi berkata beliau memulakan perniagaan sejak 2018 di tepi rumah sahaja kerana kesukaran mendapatkannya selain kualiti tidak menepati citarasa.

“Sejak itu, saya buat analisis inovasi untuk hasilkan songkok sendiri dengan mencipta songkok sendiri. Dengan adanya hub inovasi ini, boleh mengembangkan perniagaan dengan lebih kukuh.

“Usahawan perlu ambil dan manfaatkan kemudahan yang disediakan ini, perlu ke depan dan lebih berusaha dengan wujudkannya, inspirasi Kerajaan Negeri tidak putus,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.