El Nino ancam produktiviti tanaman, termasuk kelapa sawit dan padi

8 Okt 2026, 9:00 AM
El Nino ancam produktiviti tanaman, termasuk kelapa sawit dan padi
El Nino ancam produktiviti tanaman, termasuk kelapa sawit dan padi
El Nino ancam produktiviti tanaman, termasuk kelapa sawit dan padi
El Nino ancam produktiviti tanaman, termasuk kelapa sawit dan padi

SHAH ALAM, 8 OKT: Fenomena El Nino yang dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun depan berisiko menjejaskan produktiviti pelbagai tanaman termasuk kelapa sawit dan padi.

Pensyarah Perniagaan Tani dan Ekonomi Biosumber Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Hanis Izani Abdul Hadi berkata peningkatan suhu dan kekurangan air akibat kemarau berpanjangan boleh memberi kesan ketara terhadap pertumbuhan serta hasil tanaman.

“Kalau kita tengok kesan El Nino ini, semua tanaman berisiko terima kesan termasuk kelapa sawit. Kesan El Nino ini dikaitkan dengan peningkatan suhu dan kita menghadapi risiko kemarau.

“Apabila kita berdepan kekurangan air, tanaman itu akan berdepan kesan yang jelas dan nyata. Sama juga dengan kelapa sawit. Walaupun pokoknya sudah besar, krisis air berpanjangan akan beri impak dari segi pembentukan buah tandan dan beri kesan kepada produktiviti,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, tanaman padi antara yang perlu diberi perhatian khusus kerana sangat bergantung kepada bekalan air, selain berdepan ancaman serangga perosak ketika musim kemarau.

Katanya, negara berdepan risiko pengurangan hasil tanaman sekiranya pengusaha tani tidak mengambil langkah mengurangkan kesan fenomena El Nino.

“Apa yang boleh dirancang di peringkat kerajaan adalah penyediaan skim perlindungan insurans untuk pendapatan petani. Skim ini sedikit sebanyak dapat bantu pengusaha dan kurangkan kerugian kewangan.

“Selain itu, kerajaan juga boleh bantu menyediakan sistem amaran awal kaji cuaca melalui kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). Kalau kita boleh integrasikan data dan dibantu oleh nasihat jabatan pertanian, mungkin kita boleh hasilkan penyelesaian lebih baik,” katanya.

Keadaan tali air sawah padi sekitar Ketereh kering susulan kekurangan bekalan air yang disalurkan berikutan musim kemarau pada 28 Mac 2024. Foto BERNAMA

Dr Ahmad Hanis berkata petani juga perlu mempelbagaikan sumber pendapatan sebagai persediaan menghadapi risiko pengeluaran, selain memperkukuh sistem pengairan di kawasan tanaman.

Katanya, intervensi kewangan seperti moratorium bersasar atau kelonggaran bayaran pembiayaan pinjaman juga boleh dipertimbangkan bagi meringankan tekanan pengusaha tani yang terjejas akibat kemerosotan produktiviti.

“Apa yang petani boleh laksanakan adalah pelbagaikan aktiviti pendapatan sampingan. Tidak boleh bergantung kepada pertanian sahaja. Tambah baik juga infrastruktur air sebagai pelaburan yang wajib.

“Di peringkat pembiaya, tekanan ini dihadapi petani. Mungkin boleh diberi sedikit kelonggaran kerana ia beri kesan kepada produktiviti. Kalau ada sedikit kelonggaran pembiayaan sudah tentu ia beri kelegaan kepada petani,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memaklumkan fenomena El Nino dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun depan dan berpotensi mencapai tahap ‘super’ atau sangat kuat mulai bulan ini hingga Januari 2027.

Beliau dilaporkan berkata analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan fenomena El Nino boleh menyebabkan taburan hujan lebih rendah serta cuaca lebih panas dan kering.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.