ad

SJAM elak gangguan bekalan air walaupun sungai tercemar

22 Ogos 2025, 8:28 AM
SJAM elak gangguan bekalan air walaupun sungai tercemar
SJAM elak gangguan bekalan air walaupun sungai tercemar
SJAM elak gangguan bekalan air walaupun sungai tercemar
SJAM elak gangguan bekalan air walaupun sungai tercemar
SJAM elak gangguan bekalan air walaupun sungai tercemar

Sungai di Selangor yang menjadi sumber bekalan air kepada majoriti penduduk di Lembah Klang tercemar tiga kali dalam masa 24 hari sepanjang Julai 2025.

Namun, kejadian itu berlalu hampir tidak disedari jutaan pengguna Air Selangor. Pencemaran itu tidak menyebabkan loji rawatan air (LRA) dihentikan tugas yang lazimnya mengakibatkan terputusnya bekalan air buat sementara waktu.

Henti tugas LRA dapat dielak dan bekalan air mengalir ke rumah seperti biasa sejak Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Jaminan Air Mentah atau SJAM yang beroperasi sepenuhnya bermula 13 Mei 2025.

Melalui insiatif itu, Kerajaan Negeri memberi jaminan bekalan air berterusan biarpun berlaku pencemaran atau kemarau.

“Saya tak berani kata sehingga 100 peratus kerana mungkin boleh berlaku cabaran lain yang tidak dapat dielakkan,” kata Dato Menteri Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Mei lalu.

Wartawan NADIAH ZAMLUS menyusun maklumat berkaitan SJAM hasil temu ramah bersama Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Dato’ Johary Anuar pada 31 Julai lalu.

1.Apa itu SJAM?

SJAM dilaksana Kerajaan Selangor bermula 28 Oktober 2020. Bertujuan memastikan bekalan air mentah mencukupi dan berkualiti, terutama semasa musim kemarau atau pencemaran air.

Menelan belanja RM320 juta dan tambahan RM10 juta bagi pemuliharaan air dari 2021 hingga 2023, kesemua kos menggunakan dana Kerajaan Selangor sendiri.

SJAM mempunyai dua fasa. Fasa 1 bagi menangani isu pencemaran air di Sungai Selangor dan Fasa 2 bagi memastikan kecukupan air mentah menghadapi musim kemarau.

Fasa 1 dengan empat pakej siap sepenuhnya pada 13 Mei lalu. Pakej berkenaan ialah:

  • Pakej A: sistem pengepaman di Kolam HORAS 600, Bestari Jaya

  • Pakej B: pembinaan rumah pam di Kolam Hang Tuah 5 untuk LRA Rantau Panjang

  • Pakej C: pelencongan sungai dan pengepaman di LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 & 3

  • Pakej D: sistem pengepaman di LRA Sungai Semenyih

Fasa 2 sedang berjalan apabila Kerajaan Negeri melantik perunding Pelan Induk Air Selangor.

“Pelaksanaan pelan adalah mengubah air sisa (dari perbandaran atau industri) menjadi air yang boleh digunakan semula.

“Hasratnya supaya air yang diproses itu boleh digunakan untuk pelbagai tujuan sekali gus kelestarian air di Selangor semakin berdaya tahan,” kata Johary.

2.Kenapa perlu laksanakannya?

Ia tercetus kerana kekerapan pencemaran sumber air mentah sejak 2020. Pada 2020, sebanyak 35 kes pencemaran berlaku, diikuti 32 kes pada 2021, 88 kes (2022), 44 kes (2023), 52 kes (2024) dan 31 kes dari Januari hingga Ogos 2025.

Kes pencemaran itu menyebabkan henti tugas sehingga tiada bekalan air buat penduduk, direkodkan 15 henti tugas LRA pada 2020, diikuti 2 (2021), 4 (2022), 5 (2023) dan 4 henti tugas pada 2024.

Akibat dari keadaan tersebut, Kerajaan Negeri mengambil tindakan jangka panjang dan pendek untuk mengatasi pencemaran sumber air khususnya melibatkan lokasi sebelum, selepas dan muka sauk LRA.

Walaupun pencemaran air mentah bersifat sementara dan dapat dipulihkan, namun kesan gangguan bekalan air boleh berlarutan hingga empat hari kerana pemulihan.

Keadaan gangguan bekalan air ini amat memudaratkan pengguna hingga menjejaskan tugasan harian sekali gus memberi kesan daripada segi ekonomi, politik dan sosial.

3.Siapa pelaksana?

Skim ini diterajui UPEN dan melibatkan kerjasama semua agensi di Selangor seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor.

4.Di mana SJAM dilaksanakan?

Projek SJAM di Semenyih dan Kuala Selangor. Kesemua lokasi ini mempunyai LRA terbesar di Selangor iaitu LRA SSP 1, 2 dan 3 juga LRA Rantau Panjang membekalkan 60 peratus bekalan air kepada pengguna.

Keempat-empatnya membekalkan air kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, daerah Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat melibatkan 1,292 kawasan dan 1,196,457 akaun pengguna. Membabitkan kira-kira lima juta penduduk.

LRA Sungai Semenyih pula membekalkan air meliputi 462 kawasan yang merangkumi 388,690 akaun pengguna, bersamaan hampir 1 juta penduduk.

5.Bagaimana sistem SJAM berfungsi jika ada pencemaran?

Jika pencemaran berlaku berdekatan LRA SSP1,2 dan 3 di Kuala Selangor:

  • Stesen Sistem Pemantauan Sungai (RMS) mengesan pencemaran di hulu sungai, data di proses Air Selangor dan LUAS. Isyarat pengaktifan sistem SJAM dihantar ke rumah pam

  • pada waktu berkenaan, inlet (pintu masuk air) Kolam Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (Horas) 600 ditutup

  • air daripada Kolam Horas 600 yang dilaksana menerusi Pakej A akan membekalkan air kepada ketiga-tiga LRA bagi mengelakkan henti tugas

  • sementara itu, pembinaan Pakej C iaitu lencongan sungai berdekatan LRA berkenaan berfungsi melencongkan air tercemar menggunakan tambak kekal dan tambak boleh ubah

  • adanya Pakej A dan C membolehkan bekalan air bersih terus dibekalkan tanpa gangguan

Jika pencemaran berlaku berdekatan LRA Rantau Panjang di Kuala Selangor:

  • RMS mengesan pencemaran di hulu sungai, data di proses Air Selangor dan LUAS. Isyarat pengaktifan sistem SJAM dihantar ke rumah pam

  • muka sauk LRA Rantau Panjang dan inlet Kolam Hang Tuah 6 ditutup serta merta

  • bagi mengelakkan henti tugas LRA, bekalan air daripada Kolam Hang Tuah 6 dan 5 menerusi pelaksanaan Pakej B disalurkan ke LRA Rantau Panjang

  • tiada henti tugas berlaku dan air bersih terus dibekalkan kepada penduduk dan industri

Jika pencemaran berlaku berdekatan LRA Sungai Semenyih di Semenyih:

  • RMS mengesan pencemaran di hulu sungai, data di proses Air Selangor dan LUAS. Isyarat pengaktifan sistem SJAM dihantar ke rumah pam

  • pada waktu sama, inlet Kolam A dan muka sauk LRA Sungai Semenyih akan ditutup serta merta

  • untuk mengelakkan henti tugas atau tiada bekalan air, Rumah Pam SJAM yang dibina merentasi Kolam B dan C menerusi pelaksanaan Pakej D akan mengepam air keluar ke LRA Sungai Semenyih

  • air bersih dapat dibekalkan kepada penduduk dan industri tanpa gangguan

6.Bagaimana skim ini beri kesan kepada sektor pertanian, perindustrian dan domestik di Selangor?

Apabila dilaksanakan sepenuhnya, ia akan memberi faedah kepada hampir 80 peratus rakyat Selangor termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ini kerana bekalan air dari Sungai Selangor menampung permintaan 60 peratus pengguna, manakala Sungai Semenyih dan Sungai Langat pula menampung 20 peratus.

Skim SJAM memberi kesan bekalan air berterusan tanpa gangguan kepada pengguna walaupun berlaku pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor, Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

7.Adakah pengguna perlu menanggung kos tambahan akibat pelaksanaan skim ini?

“Tanggungjawab menyediakan air mentah mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti untuk menampung permintaan penggunaan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bawah Kerajaan Negeri.

“Perbelanjaan menyediakan infrastruktur dan fasiliti bawah SJAM merupakan komitmen Kerajaan Negeri kepada rakyat dan pengguna tidak perlu menanggung kos tambahan akibat pelaksanaan SJAM Fasa 1 ini.

“Namun, pengguna kena sentiasa peka usaha mengatasi isu pencemaran sumber air mentah bukanlah semata-mata patut digalas Kerajaan Negeri, tetapi ia perlu juga rasa kebertanggungjawapan dari semua pihak,” kata Johary.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.