GEORGE TOWN, 13 JUN: Pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri (JPN) diingatkan supaya mengambil tindakan tegas dan segera sebaik sahaja menerima aduan salah laku, khususnya yang melibatkan gangguan seksual terhadap murid.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kes sedemikian tidak boleh dipandang ringan atau dibiarkan sehingga menjadi tular sebelum tindakan diambil.
“Apabila ada anak yang mengadu diganggu secara seksual, ibu bapa dan guru mesti mengambil tindakan. Perkara ini perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa serta disiasat secara menyeluruh.
“(Tindakan) susulan juga perlu dilakukan termasuk membawa kanak-kanak berkenaan mendapatkan perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa tindakan terhadap satu kes membabitkan seorang guru dan murid di Lawas, Sarawak hanya diambil selepas perkara itu tular melalui media sosial.
Fadhlina berkata semua PPD perlu sentiasa peka terhadap kes seumpama itu dan bertindak mengikut tatacara ditetapkan, termasuk membuat laporan kepada polis.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai gangguan seksual terhadap kanak-kanak supaya membuat laporan terus kepada pihak berkuasa dan tidak sekadar menyebarkannya menerusi media sosial.
Fadhlina berkata Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menjadi rujukan semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPM masih menyiasat kes seorang murid tahun enam di Perlis yang didakwa mengalami kecederaan serius akibat dibuli dan perkara itu turut dirujuk kepada pihak berkuasa.
“Kita tidak akan berkompromi dalam soal buli dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat.
“Dakwaan itu perlu disokong dengan siasatan yang telus dan berintegriti. Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan, manakala KPM turut melaksanakan siasatan dalaman,” katanya.
Berhubung kejadian seorang guru disiplin yang didakwa diserang sekumpulan murid ketika menjalankan tugas, Fadhlina berkata guru juga mempunyai hak untuk dilindungi di bawah undang-undang ketika melaksanakan kuasa dan tanggungjawab mereka.






