Bahasa Melayu berpotensi berkembang dalam era digital - Fadhlina

24 Okt 2026, 5:02 AM
Bahasa Melayu berpotensi berkembang dalam era digital - Fadhlina

SHAH ALAM, 24 OKT: Bahasa Melayu mempunyai potensi untuk terus berkembang sebagai bahasa ilmu, inovasi dan ekonomi menerusi peluasan penggunaannya dalam teknologi digital serta industri kreatif, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau berkata pendekatan memartabatkan bahasa kebangsaan perlu bergerak seiring perkembangan dunia digital bagi memastikan penggunaannya terus meluas, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Saya percaya Bahasa Melayu mempunyai masa depan yang cerah jika kita berani mengubah pendekatan dan memperluas ruang penggunaannya,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Datuk Amzan Abd Malek pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2026 di Padang Kota Lama, George Town hari ini.

Fadhlina berkata Bahasa Melayu perlu terus berkembang seiring bahasa utama dunia lain, tanpa mengetepikan peranannya sebagai tonggak identiti, warisan budaya dan perpaduan Malaysia.

Katanya, bahasa kebangsaan bukan sekadar lambang identiti nasional, malah berpotensi menyumbang kepada penghasilan ilmu, inovasi dan pembangunan ekonomi.

“Dalam era globalisasi dan dunia digital tanpa sempadan ini, Bahasa Melayu perlu terus berkembang seiring bahasa utama dunia lain bagi meningkatkan nilai ekonomi bahasa kebangsaan kita,” katanya.

Menurutnya, usaha memperluas penggunaan Bahasa Melayu perlu mengambil kira cara generasi muda, khususnya Generasi Alpha, berinteraksi dan mendapatkan maklumat dalam persekitaran yang dipengaruhi teknologi pintar, media sosial, kandungan audiovisual dan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, pendedahan golongan muda kepada bahasa kini tidak terhad kepada buku teks dan bilik darjah, sebaliknya turut berlaku melalui video, permainan digital, animasi, muzik, kandungan penstriman serta interaksi dalam talian.

Sehubungan itu, beliau berkata Bahasa Melayu perlu mempunyai kehadiran lebih kukuh dalam landskap digital menerusi penghasilan kandungan berkualiti, animasi kreatif, permainan pendidikan, video pendek berinformasi, penerbitan elektronik dan aplikasi berasaskan teknologi terkini.

Pendekatan itu bukan sahaja berpotensi menarik minat generasi muda untuk menggunakan dan menghargai bahasa kebangsaan, malah membuka ruang lebih luas dalam bidang pendidikan, industri kreatif, inovasi teknologi dan ekonomi digital.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.