KPM terima 73,498 permohonan Tahun Satu usia enam tahun 2027

18 Nov 2026, 4:30 AM
KPM terima 73,498 permohonan Tahun Satu usia enam tahun 2027
KPM terima 73,498 permohonan Tahun Satu usia enam tahun 2027
KPM terima 73,498 permohonan Tahun Satu usia enam tahun 2027
KPM terima 73,498 permohonan Tahun Satu usia enam tahun 2027
KPM terima 73,498 permohonan Tahun Satu usia enam tahun 2027

SHAH ALAM, 18 NOV: Seramai 73,498 kanak-kanak berusia enam tahun memohon pendaftaran ke Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027 setakat 30 September lalu, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata jumlah itu sebahagian daripada keseluruhan 491,649 permohonan yang diterima bagi kemasukan Tahun Satu pada 2027.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan berkenaan, seramai 418,151 kanak-kanak terdiri daripada kohort usia tujuh tahun.

Beliau menjelaskan KPM memperluas akses kemasukan ke Tahun Satu dengan memberikan pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun mulai Kalendar Akademik 2027.

Bagaimanapun, katanya, kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun dilaksanakan secara sukarela berdasarkan pilihan ibu bapa, manakala kohort usia tujuh tahun kekal sebagai laluan utama sepanjang tempoh peralihan.

“Keutamaan KPM adalah bagi memberikan pilihan kepada ibu bapa berdasarkan kesediaan anak masing-masing, di samping memastikan sistem pendidikan mempunyai keupayaan dan kesiapsiagaan untuk menerima kanak-kanak berusia enam tahun yang memilih untuk memasuki Tahun Satu,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berhubung jumlah pendaftaran murid enam tahun dan pelaksanaan dasar kemasukan secara sukarela itu.

Manndzri turut mempersoalkan sama ada dasar berkenaan mendapat sambutan luar biasa ibu bapa atau berisiko membebankan emosi murid dan guru.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata KPM akan terus memantau perkembangan pendaftaran serta kesiapsiagaan setiap sekolah, termasuk membuat penyelarasan dari semasa ke semasa dalam aspek penempatan murid, keperluan guru, kapasiti bilik darjah dan prasarana.

“Langkah ini memastikan pengoperasian Tahun Satu bagi Kalendar Akademik Tahun 2027 dapat dilaksanakan dengan lancar dan kondusif tanpa menjejaskan akses serta kualiti pendidikan murid,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.