PUTRAJAYA, 25 NOV: Reformasi pendidikan perlu dilaksanakan secara berterusan dan dijadikan sebagai budaya dalam seluruh ekosistem pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau berkata usaha pembaharuan itu tidak seharusnya bergantung kepada individu yang menjadi menteri atau menerajui kementerian sebaliknya perlu terus digarap secara konsisten agar warga pendidik dan pelajar mendapat manfaat besar.
Fadhlina berkata setiap inisiatif reformasi yang dirancang mesti diterjemahkan secara praktikal pada peringkat akar umbi dan tidak hanya terhenti di atas kertas.

"Dalam kita bercakap tentang reformasi pendidikan, ia tidak boleh hanya hidup dalam dokumen. Ia mesti hidup dalam bilik darjah, hubungan antara guru dengan murid, keputusan dibuat semua pemimpin sekolah dan dalam setiap usaha bagi memastikan tiada anak tercicir daripada peluang pendidikan.
“Reformasi juga tidak boleh bergantung kepada siapa yang menjadi menteri. Ia mesti menjadi budaya dan seluruh ekosistem pendidikan negara,” katanya ketika merasmikan NYALA: Kisah Reformasi Pendidikan di sini hari ini.
NYALA merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) yang menunjukkan kecemerlangan, komitmen dan amalan terbaik dalam pengurusan serta pelaksanaan pendidikan berkualiti.
Fadhlina menyeru warga pendidik terus berani melaksana reformasi dengan menilai dan menambah baik pelaksanaan sedia ada demi memastikan setiap perubahan membuahkan hasil yang bermakna kepada generasi pelajar.
"Reformasi bukan semata-mata melihat kepada siapa menterinya, tetapi kerja keras serta iltizam semua yang mencintai dunia pendidikan.
“Saya sangat percaya bahawa pendidikan ini tidak akan pernah padam dan akan terus menyala selagi ada guru yang memegang jiwa dan arah pendidikan ini," katanya.
Beliau berkata setiap reformasi pada peringkat sekolah perlu didasari dengan asas yang kukuh supaya ia tidak menjadi sekadar reformasi kosmetik.
“Apabila kita sebut tentang reformasi ini, pertama adalah soal perubahan. Apa yang nak ubah? Ia bukan sekadar ubah daripada kelas biasa jadi kelas digital ditambah papan pintar atau penyaman udara sahaja.
“Itu bukan reform (reformasi) tetapi reform ini adalah kepercayaan kita yang bersungguh-sungguh dan melakukan dengan sedaya upaya untuk perubahan itu,” katanya bahawa perubahan boleh bermula di bilik darjah sehingga murid mendapat manfaat.
Sementara itu, beliau berkata Jemaah Nazir bukanlah individu yang harus ditakuti sebaliknya mereka perlu terus menjadi suri teladan dalam profesion pendidikan.
“Itu yang kita mahu apabila kita bercakap tentang mengangkat martabat profesion perguruan ini, (nazir) menjadi satu contoh pedoman yang jelas apabila melaksanakan tugas-tugas itu,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 78 penerima daripada 15 kategori dinobatkan penerima anugerah NYALA antaranya Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(2) dan Sekolah Kebangsaan Zainab (1), Kelantan.






