SHAH ALAM, 19 NOV: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kematian seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak telah diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata kamera berkenaan disahkan berfungsi dengan baik, manakala pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik dijadualkan pada jam 9 pagi ini.
Menurutnya, beberapa pentadbir dan guru sekolah terbabit turut diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
"Saya memandang serius kejadian ini dan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus," katanya dalam kenyataan.
Fadhlina memaklumkan bliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan, manakala Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) tiba di lokasi bagi menyelaras tindakan segera.
Beliau turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah berkenaan hari ini untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan.
"Bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November 2026.
"Bantuan psikososial juga telah diberikan kepada mereka yang terkesan," katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan KPM tidak akan berkompromi sekiranya siasatan membuktikan berlaku kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi serta menghormati privasi mereka.
"Saya amat memahami betapa beratnya kehilangan seorang anak. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang sedang ditanggung keluarga mangsa.
"Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga. Semoga keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini," katanya.







