Krisis tenaga: MBPJ utamakan lokasi dalam Selangor, laksana BDR jimat kos operasi

13 Jun 2026, 5:12 AM
Krisis tenaga: MBPJ utamakan lokasi dalam Selangor, laksana BDR jimat kos operasi
Krisis tenaga: MBPJ utamakan lokasi dalam Selangor, laksana BDR jimat kos operasi

PETALING JAYA, 13 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengutamakan lokasi dalam Selangor bagi penganjuran program sebagai langkah penjimatan susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata langkah itu selaras pekeliling penjimatan negeri, selain memastikan perbelanjaan dikawal tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

“Mengutamakan lokasi dalam Selangor bagi penganjuran program merupakan antara kaedah yang kami laksanakan untuk menjimatkan kos.

“MBPJ juga melaksanakan kaedah bekerja dari rumah (BDR) bagi mengurangkan kos operasi dan penggunaan bahan api,” katanya kepada Media Selangor pada Majlis Penyerahan Geran Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya di sini, malam tadi.

Mohamad Zahri berkata pelaksanaan BDR membantu mengurangkan penggunaan bahan api, selain menyokong usaha kerajaan meningkatkan kecekapan dalam keadaan ekonomi semasa.

“Apabila BDR dilaksanakan, pergerakan dapat dikurangkan dan penggunaan bahan api menurun dengan ketara. Ia menyumbang kepada penjimatan yang besar dari segi penggunaan bahan api,” katanya.

Beliau berkata pengurangan jumlah trafik hasil pelaksanaan BDR turut mengurangkan permintaan terhadap pengangkutan sekali gus membantu usaha penjimatan tenaga secara keseluruhan.

Menurutnya, pendekatan MBPJ selaras gesaan kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah serta mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.

“MBPJ akan terus mengenal pasti kaedah yang praktikal untuk mengurus perbelanjaan tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk, selain menyokong inisiatif yang lebih luas dalam menangani tekanan ekonomi dan menggalakkan penggunaan sumber secara mampan,” katanya.

Krisis tenaga semasa berpunca daripada konflik berterusan di Asia Barat yang semakin memuncak susulan serangan ketenteraan Amerika Syarikat di rantau berkenaan serta penutupan Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan terhadap bekalan dan harga minyak global.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.