Sabak Bernam perlukan lonjakan industri, Jajaran Rel Selangor pacu ekonomi luar bandar

13 Jun 2026, 1:00 AM
Sabak Bernam perlukan lonjakan industri, Jajaran Rel Selangor pacu ekonomi luar bandar
Sabak Bernam perlukan lonjakan industri, Jajaran Rel Selangor pacu ekonomi luar bandar
Sabak Bernam perlukan lonjakan industri, Jajaran Rel Selangor pacu ekonomi luar bandar
Sabak Bernam perlukan lonjakan industri, Jajaran Rel Selangor pacu ekonomi luar bandar

SABAK BERNAM, 13 JUN: Sabak Bernam berpotensi besar untuk berkembang lebih pesat, namun kekurangan pembangunan industri serta keterbatasan pengangkutan awam masih menjadi cabaran utama yang mengekang pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan tempatan.

Penduduk, Muhammad Noor Azhar, 64, berkata pembangunan yang lebih seimbang khususnya dalam sektor industri penting bagi mengelakkan golongan muda terus berhijrah ke bandar besar seperti Petaling Jaya dan Shah Alam untuk mencari pekerjaan.

Muhd Noor Azhar, 64,

“Sabak Bernam ini memang jauh ketinggalan dari segi industri. Apa sahaja industri pun jauh berbanding Klang atau Shah Alam. Sebab itu anak-anak muda di sini ramai yang berhijrah ke bandar.

“Rangkaian jalan pun agak tidak memuaskan. Kalau ada industri seperti elektronik atau pembuatan, mungkin anak muda tidak perlu berhijrah jauh untuk mencari kerja,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang juga seorang petani berharap perancangan di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat jangka panjang generasi akan datang.

Rangsang ekonomi setempat

Sementara itu, peniaga kecil, Muhammad Ikram Masri, 46, berkata pembangunan jaringan rel yang dirancang Kerajaan Negeri menerusi RS-2 berpotensi menjadi pemangkin ekonomi baharu di daerah itu.

Beliau yakin kemudahan itu akan menarik lebih ramai pengunjung sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga tempatan.

Muhd Ikram Masri, 46,

“Alhamdulillah, mungkin ia dapat menambah pendapatan penduduk di daerah ini kerana lebih ramai pengunjung akan datang apabila kemudahan pengangkutan ini disediakan,” katanya.

Bagi Hairunizam Salimin, 54, pula projek berkenaan bukan sahaja memudahkan urusan mobiliti, malah memberi manfaat kepada keluarga serta membuka peluang ekonomi kepada usahawan.

Hairunizam Salimin, 54,

“Saya tinggal di Klang, jadi dengan adanya kemudahan ini, lebih mudah dan menjimatkan masa untuk saya berulang-alik melawat ibu bapa di kampung,” katanya.

Menurutnya, pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri termasuk peluang keusahawanan dan penyertaan ekspo turut membantu peniaga mengembangkan perniagaan.

“Sebagai usahawan, banyak peluang disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui ekspo dan tapak jualan. Ini membantu kami menambah pendapatan dan membuka peluang lebih luas,” katanya.

Rancak pelancongan

Dalam masa sama, jaringan rel turut dilihat mampu mengubah landskap pelancongan di kawasan popular seperti Sungai Besar dan Sekinchan yang semakin menerima kunjungan pelancong.

Pekerja swasta, Nur Lailatul Annisa Zamri, 37, berkata kemudahan itu dapat mengurangkan kesesakan jalan raya serta menyediakan alternatif pengangkutan lebih efisien.

Nur Lailatul Annisa Zamri, 37,

“Bagi saya, projek ini sangat baik kerana kawasan Sungai Besar dan Sekinchan memang menjadi tumpuan pelancong. Dengan adanya rel, ia dapat mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Sekarang ini pun kawasan ini sering sesak, jadi bila ada alternatif pengangkutan, ia sangat membantu,” katanya.

Sementara itu, Nurul Hafiza Suhaili, 25, berkata penambahbaikan pengangkutan awam amat penting khususnya bagi pelajar dan pekerja yang perlu berulang-alik ke luar daerah.

Nurul Hafiza Suhaili, 25,

“Pengangkutan awam ini sangat memudahkan dan lebih menjimatkan kos berbanding penggunaan kenderaan sendiri, terutama untuk mereka yang bekerja atau belajar jauh,” katanya.

“Dulu saya sendiri sebagai pelajar perlu berulang-alik ke Nilai dan hanya ada satu bas sehari, jadi agak sukar. Kalau ada rel, ia memang sangat membantu dan lebih fleksibel,” tambahnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan pelbagai inisiatif untuk rakyat Selangor.

RS-2 fokus pembangunan rel negeri

Inisiatif Jajaran Rel Selangor di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pengangkutan rel yang menghubungkan kawasan utara dan selatan Selangor, khususnya kawasan yang belum diliputi rangkaian MRT dan LRT.

Pembinaan projek itu dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun dan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan beberapa fasa.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama wakil agensi dan pemain industri meninjau fasiliti penyelenggaraan tren di Kompleks Rapid Rail Subang sempena Mesyuarat Majlis Industri Rel Negeri Selangor, pada 25 Mei 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan projek ini akan dimulakan dengan kajian kebolehlaksanaan bernilai RM3 juta.

Sebelum ini, EXCO Mobiliti Ng Sze Han memaklumkan kajian tersebut mengenal pasti jajaran sepanjang kira-kira 200 kilometer dengan empat cadangan laluan utama iaitu di Pelabuhan Barat, Klang, Putra Heights dan Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.