Murid cedera: JPN Perlis beri kerjasama penuh terhadap siasatan polis

12 Jun 2026, 10:42 AM
Murid cedera: JPN Perlis beri kerjasama penuh terhadap siasatan polis

KANGAR, 12 JUN: Jabatan Pendidikan Negeri Perlis memberikan kerjasama penuh terhadap proses siasatan polis terhadap kes murid tahun enam yang mengalami kecederaan sehingga membataskan pergerakannya selepas dipercayai terjatuh akibat kerusi yang ingin didudukinya disyaki ditarik oleh rakan sekelasnya.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan salah laku buli dan sesiapa sahaja yang bersalah perlu dikenakan tindakan.

"Jabatan Pendidikan Negeri Perlis mengambil perhatian insiden di sekolah yang mengakibatkan kecederaan seorang murid ini," menurut kenyataan itu.

Pihak sekolah terbabit telah diminta untuk memastikan bantuan terbaik diberikan kepada murid berkenaan yang kebajikan serta kesejahteraan murid terlibat perlu diberikan keutamaan.

Hari ini, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun didakwa mengalami kecederaan sehingga membataskan pergerakannya menyebabkan dia tidak dapat hadir ke sekolah hampir empat bulan selepas dipercayai terjatuh akibat kerusi yang ingin didudukinya disyaki ditarik oleh rakan sekelasnya pada Februari lepas.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Norasikin Hasin, 32, mendakwa anak sulung daripada dua beradik itu mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang pinggang sebelum didiagnosis mengalami gangguan fungsi serta gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) susulan kejadian pada 11 Feb itu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.