PADANG BESAR, 12 JUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun didakwa mengalami kecederaan sehingga membataskan pergerakannya menyebabkan dia tidak dapat hadir ke sekolah hampir empat bulan selepas dipercayai terjatuh akibat kerusi yang ingin didudukinya disyaki ditarik oleh rakan sekelasnya pada Februari lepas.
Ibu kepada kanak-kanak itu, Norasikin Hasin, 32, mendakwa anak sulung daripada dua beradik itu mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang pinggang sebelum didiagnosis mengalami gangguan fungsi serta gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) susulan kejadian pada 11 Feb itu.
Beliau berkata kejadian berlaku ketika sesi pengajaran dan pembelajaran apabila anaknya ingin duduk semula setelah memberikan salam kepada guru sebelum terjatuh ke lantai selepas kerusinya dipercayai ditarik oleh seorang rakan perempuan.
“Anak saya mula mengadu sakit belakang selepas pulang dari asrama pada 13 Feb untuk cuti sekolah bagi menyambut Ramadan dan saya tahu mengenai kejadian menimpa anak saya ketika saya membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk mendapatkan rawatan.
“Sejak itu, anak saya beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana sakit berterusan dan mengalami kebas badan. Hingga kini, dia masih dapat cuti sakit. Sekarang, anak saya tidak dapat bergerak aktif seperti biasa, tidak boleh berdiri atau duduk terlalu lama selain pelajarannya turut terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Chuping, dekat sini.
Norasikin turut mendakwa perubahan emosi anaknya semakin ketara selepas kejadian itu, termasuk kerap termenung, menangis secara tiba-tiba dan meracau tidak tentu masa serta meluahkan perasaannya menerusi catatan dan lukisan dalam sebuah buku.
“Menerusi catatan dalam buku seperti diari ini banyak isi hati anak saya luahkan, menggambarkan kawan-kawan tidak mahu berkawan dengannya, kawannya suruh dia buat kerja sekolah dan paling saya sedih lukisannya menunjukkan ada seorang individu berada di hujung tebing tinggi menghadap bulan seolah-olah menggambarkan tekanan dialami sudah berpenghujung,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Norasikin berharap pihak berwajib dapat membantu mendapatkan keadilan untuk anaknya yang disifatkan mempunyai potensi dalam akademik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.






