Op Todak: 79 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu di Sabak Bernam

12 Jun 2026, 10:31 AM
Op Todak: 79 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu di Sabak Bernam
Op Todak: 79 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu di Sabak Bernam

SHAH ALAM, 12 JUN: Seramai 79 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu 'Op Todak' di sekitar Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam semalam.

Operasi itu dijalankan secara serentak melalui laluan laut dan darat bermula jam 11.59 pagi dengan melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa negeri serta persekutuan.

Menurut kenyataan Polis Selangor, seramai 125 individu diperiksa dalam operasi berkenaan sebelum membawa kepada penahanan 79 PATI berusia antara 18 hingga 60 tahun, membabitkan 64 lelaki dan 15 wanita.

"Pecahan jumlah tangkapan mengikut bangsa/warganegara adalah seperti berikut: India (21 Lelaki), Myanmar (16 Lelaki, 2 Perempuan), Indonesia & Thailand (10 Lelaki, 7 Perempuan), Pakistan (16 Lelaki), Kemboja (5 Lelaki), Bangladesh (2 Lelaki) dan Vietnam (1 Lelaki, 1 Perempuan).

"Kesemua PATI ini ditahan atas pelbagai kesalahan tegar di bawah Akta Imigresen seperti tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih tempoh dan penyalahgunaan pas lawatan, selain kesalahan pemerdagangan manusia serta pemalsuan kad pengenalan," katanya.

Pihak berkuasa itu memaklumkan, operasi turut menumpaskan dua kes penyelewengan serta penyeludupan barangan kawalan berjadual membabitkan bahan api yang disyaki diesel mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tinjauan operasi dilakukan Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan yang hadir meneliti pelaksanaan strategi gempur Op Todak di kawasan berkenaan.

Beliau menyifatkan kejayaan 'Op Todak' sebagai bukti keberkesanan perancangan strategik Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor bersama rakan strategik penguatkuasaan negeri.

Mohd Zaini turut memberi amaran kepada orang ramai serta majikan supaya tidak melindungi PATI, selain menggesa komuniti terus menyalurkan maklumat demi memastikan kedaulatan perairan dan keselamatan Selangor sentiasa terpelihara.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.