SHAH ALAM, 12 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah pembinaan Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor bukan sekadar struktur fizikal atau mercu tanda baharu, sebaliknya simbol kecintaan kepada tanah air, kesetiaan kepada negeri serta wahana memperkukuh perpaduan rakyat.
Selangor Royal Office menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Jalur Gemilang dan bendera Selangor yang berkibar megah pada tiang berkenaan membawa makna lebih besar sebagai lambang patriotisme yang wajar dipelihara serta dihargai oleh seluruh rakyat.
Pandangan itu dizahirkan Baginda ketika berkongsi pengalaman berada di Istanbul, Turkiye, yang menampilkan deretan tiang bendera besar di kawasan strategik bandar raya tersebut sehingga menjadi sebahagian landskap ikonik serta simbol jelas semangat patriotisme rakyatnya.
“Semasa berada di Istanbul, Turkiye, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kagum melihat pemandangan tiang-tiang bendera yang megah berdiri di atas bukit-bukit sekitar bandaraya Istanbul yang bukan sahaja menceriakan landskap bandaraya di atas dua benua itu, malah menjadi simbol jelas semangat patriotisme rakyat Turkiye.
“Baginda berpandangan kibaran bendera pada tiang-tiang sebegini mampu menyemarakkan rasa cinta kepada negeri dan negara, seterusnya menghormati lambang-lambang kedaulatan serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama,” menurut hantaran itu.
Sehubungan itu, Baginda menzahirkan rasa dukacita apabila pembinaan Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor yang telah dirasmikan sebelum ini masih dipolemikkan oleh segelintir pihak, sedangkan ia membawa manfaat sebagai medium memupuk semangat kebersamaan, perpaduan dan jati diri rakyat.

Justeru, Sultan Sharafuddin berharap pengalaman serta contoh yang dilihat di Istanbul dapat dijadikan inspirasi dalam memperkukuh semangat patriotisme rakyat, sekali gus menyemai rasa cinta kepada negeri dan negara yang lebih utuh pada masa depan.
Pada 8 Mac lalu, Baginda berkenan menyempurnakan Upacara Mengibarkan Bendera Negeri Selangor sempena pembinaan Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor, Kelab Shah Alam.
Dalam majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin bagi tiang bendera di Dataran Selangor yang diiktiraf sebagai tertinggi di Asia Tenggara.
Baginda sebelum ini bertitah tiang bendera setinggi 120 meter itu merupakan simbol kebanggaan negeri serta mercu tanda baharu yang menyerlahkan identiti Bandar Raya Shah Alam.








