SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan Negeri meneroka peluang kerjasama dengan beberapa institusi dari Korea Selatan bagi memperkukuh ekonomi penjagaan di Selangor.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata usaha itu dibincangkan menerusi kunjungan delegasi Republik Korea yang berkongsi pengalaman dan idea berhubung pembangunan sektor penjagaan, semalam.
"Delegasi yang hadir terdiri daripada wakil Yonggak Medical Foundation, Gyeongju Girls’ Information High School, AL Networks, Jiseong Eng Co Ltd, Hanshin Hospital dan Dream Corporation. Turut sama, bekas ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad," katanya di Facebook.
Menurut Anfaal, perbincangan yang berlangsung membuka ruang perkongsian meluas melibatkan data statistik, contoh pelaksanaan serta amalan terbaik dalam sektor penjagaan.
Beliau berkata pihaknya mengambil maklum pendekatan yang diambil negara itu dalam membangunkan pusat rehabilitasi, perkhidmatan penjagaan jangka panjang serta model penjagaan berasaskan komuniti.
"Banyak perkara yang boleh dipelajari dan mungkin disesuaikan dengan keperluan masyarakat kita di Selangor. Insya-Allah," tambahnya.
Anfaal berkata peluang mengadakan pertemuan ini bukan sekadar menjadi wadah bertukar pandangan, malah pekuang untuk membina jaringan dan meneroka kerjasama startegik pada masa hadapan.
"Saya percaya industri penjagaan mempunyai potensi yang besar dan mampu menjadi antara pemacu pembangunan negeri. Moga ini menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat kepada kedua-dua negara," ujarnya.








