PETALING JAYA, 11 JUN: Sokongan terhadap komuniti neurodivergent perlu melangkaui usaha meningkatkan kesedaran dan diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberi manfaat kepada golongan tersebut.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata masyarakat perlu membina sistem yang benar-benar menyokong golongan itu dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pendidikan, pembangunan diri dan peluang kerjaya.
Neurodivergent merujuk kepada individu yang mempunyai perbezaan neurologi seperti autisme, gangguan hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD) serta disleksia yang memerlukan sokongan mengikut keperluan masing-masing.
"Usaha menyokong komuniti neurodivergent tidak boleh terhenti pada tahap kesedaran semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan tindakan yang berterusan.
"Kita perlu melangkaui kesedaran dan membina sistem yang benar-benar menyokong individu neurodivergent," katanya ketika merasmikan Karnival Neurodivergent 2026 anjuran UNITAR di sini hari ini.

Menurut Anfaal, tanggungjawab mewujudkan persekitaran yang inklusif bukan terletak kepada satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat.
Sementara itu, Dekan Eksekutif Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan Kumpulan Pendidikan UNITAR Profesor Dr Mailikka Govindarajoo berkata pendidikan inklusif bukan sekadar memberi akses kepada pelajar, tetapi memastikan mereka berasa dimiliki, dihormati dan yakin untuk berkembang.
"UNITAR komited mempersiapkan pendidik dan komuniti agar melihat neurodiversity sebagai satu kekuatan yang perlu diraikan," katanya.
Beliau berkata usaha itu penting bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang membolehkan setiap pelajar berkembang mengikut potensi masing-masing.
Karnival Neurodivergen 2026 berlangsung dari 11 hingga 13 Jun bagi memperkukuh agenda pendidikan inklusif serta sokongan kepada komuniti neurodivergent.
Program itu turut dihadiri Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Ahli Parlimen Komanwel Orang Kurang Upaya (CPwD), Senator Isaiah Jacob.








