SHAH ALAM, 11 JUN: Isu kediaman bertingkat yang didirikan secara tidak sah di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Hulu Langat dan didiami etnik Rohingya tiada kaitan dengan pengurusan strata.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Kerajaan Negeri dan yakin ia dapat ditangani dengan sewajarnya.
“Sebenarnya isu itu tidak ada terkait dengan strata. Saya percaya sudah dijawab Dato’ Menteri Besar dan biarlah mereka (Kerajaan Negeri) uruskan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Strata 2026: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama di sini hari ini.
Persidangan anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) itu bertujuan membincangkan isu semasa, cabaran dan hala tuju pengurusan strata ke arah mencapai standard pengurusan yang lebih cemerlang, mampan serta berdaya saing.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan isu kediaman bertingkat yang dibina tanpa kebenaran itu bukan perkara baharu, sebaliknya sudah melalui pelbagai tindakan penguatkuasaan sejak 2016.
Beliau berkata pelbagai langkah telah diambil termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan dan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang.
Menurut Amirudin, tindakan tersebut melibatkan beberapa agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta operasi perobohan terhadap struktur yang dibina tanpa kebenaran.
Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat Dato’ Mohd Jusni Hashim memaklumkan struktur berkenaan akan dirobohkan mengikut peruntukan undang-undang.
Katanya, tindakan itu akan dilaksanakan susulan pelbagai operasi dan penguatkuasaan yang telah dijalankan oleh agensi berkaitan terhadap penempatan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata isu penempatan warga Rohingya itu akan dibawa ke Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada September depan bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap masalah penempatan haram di kawasan berkenaan.
Menurutnya, perkara itu akan dibangkitkan bagi membolehkan tindakan lebih berkesan dilaksanakan, termasuk melibatkan aspek penggunaan tanah.








