KPKT arah paip pembentungan projek terbengkalai Taman Meru Makmur siap sebulan

11 Jun 2026, 11:12 AM
KPKT arah paip pembentungan projek terbengkalai Taman Meru Makmur siap sebulan

KLANG, 11 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan kerja pemasangan rangkaian paip pembentungan bagi projek perumahan terbengkalai di Taman Meru Makmur disiapkan dalam tempoh sebulan bagi memastikan proses pemulihan projek dapat diteruskan tanpa kelewatan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata projek melibatkan 100 unit rumah itu terbengkalai sejak 2006 dan kini sedang dipulihkan menerusi peruntukan RM2.3 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, walaupun projek berkenaan pada asalnya dijadualkan siap hujung bulan ini, beberapa isu teknikal menyebabkan kelewatan namun perkara itu tidak boleh menjejaskan komitmen menyiapkan kerja yang tertangguh sejak sekian lama.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu bercakap kepada media selepas melawat tapak projek rangkaian paip pembentungan di Taman Meru Makmur, Klang pada 11 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Dalam tempoh sebulan ini, rangkaian paip pembetungan perlu disiapkan sepenuhnya. Jika terdapat kekangan tenaga kerja, pihak kontraktor perlu menambah sumber tenaga bagi memastikan kerja dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan kerja pemulihan projek berkenaan dalam lawatan rasmi ke tapak projek hari ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu mendengar taklimat projek sebelum melawat tapak rangkaian paip pembentungan di Taman Meru Makmur, Klang pada 11 Jun 2026. Turut bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Aiman Athirah berkata KPKT memandang serius projek yang berlarutan sejak perjanjian jual beli dimeterai pada 2002 dan akan terus memantau pelaksanaannya bagi memastikan ia disiapkan mengikut spesifikasi serta tempoh yang ditetapkan.

"Kerajaan mahu pastikan setiap projek terbengkalai ini tidak terus membebankan rakyat. Kita akan pastikan ia disiapkan dengan segera dan mengikut piawaian yang ditetapkan," katanya.

Tapak projek rangkaian paip pembentungan di Taman Meru makmur, Klang pada 11 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.