HULU LANGAT, 2 OGOS: Cadangan mewajibkan pemasangan penghadang bukaan tingkap (window restrictor) di kediaman bertingkat disambut baik orang awam yang melihatnya sebagai langkah penting mengurangkan risiko penghuni khususnya kanak-kanak terjatuh dari bangunan.
Bagaimanapun, mereka menegaskan ciri keselamatan itu perlu direka bentuk supaya mudah dibuka ketika kecemasan bagi memastikan penghuni dapat menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran atau insiden lain.
Pensyarah Pengurusan Sumber Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Maryam Jamilah Asha'ari berkata langkah meningkatkan ciri keselamatan di kediaman tidak sepatutnya terhad kepada pangsapuri atau rumah yang mempunyai anak kecil, sebaliknya wajar diperluaskan kepada semua jenis kediaman.

“Saya setuju rumah dipasang jeriji, bukan sahaja di kediaman bertingkat tetapi rumah teres atau banglo juga penting sebab keselamatan juga tidak hanya melibatkan kanak-kanak, sesiapa sahaja berisiko.
“Kadang-kadang remaja atau orang dewasa juga boleh terjatuh akibat kemalangan. Sebab itu setiap rumah wajar adanya perlindungan seperti jeriji bagi mengurangkan risiko,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Pandangan sama dikongsi kakitangan swasta, Adzleen Natasha Adzmi, 28, yang menyifatkan pemasangan jeriji atau penghadang sebagai langkah pencegahan yang wajar, namun reka bentuknya perlu mengambil kira keperluan menyelamatkan diri ketika kecemasan.

“Kita memang perlu pasang jeriji supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan, tetapi pada masa sama jeriji itu haruslah mesra kecemasan.
“Contohnya jika berlaku kebakaran, jeriji perlu mudah dibuka dari dalam supaya penghuni dapat menyelamatkan diri dengan cepat,” katanya.
Cadangan itu susulan saranan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad supaya pemasangan penghadang bukaan tingkap dijadikan ciri keselamatan mandatori bagi semua unit kediaman bertingkat baharu.

Beliau berkata langkah berkenaan selari dengan pembangunan bangunan bertingkat yang semakin tinggi serta insiden berulang membabitkan penghuni, khususnya kanak-kanak, terjatuh atau terjun dari bangunan.
Menurutnya, penggunaan peralatan keselamatan seperti penghadang tingkap, jeriji dan penghadang balkoni terbukti membantu mengurangkan risiko terjatuh, namun pemasangannya perlu mematuhi piawaian keselamatan dan tidak menghalang laluan pelepasan ketika kecemasan.





