Risiko iklim semakin kompleks, Selangor perlu pendekatan bersepadu – EXCO

11 Jun 2026, 6:30 AM
Risiko iklim semakin kompleks, Selangor perlu pendekatan bersepadu – EXCO

SHAH ALAM, 11 JUN: Pendekatan adaptasi iklim tidak lagi boleh dilaksanakan secara berasingan memandangkan risiko perubahan iklim kini semakin saling berkait, kata EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata hubungan antara sistem air, tenaga, makanan dan alam sekitar perlu diperkukuh bagi memastikan pembangunan negeri kekal berdaya tahan, mampan serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap pada majlis perasmian Persidangan Selangor-Monash Nexus di Sunway Resort Hotel pada 9 Jun 2026. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

“Kita perlu memperkukuh hubungan antara sistem air, tenaga, makanan dan alam sekitar bagi memastikan pembangunan kita kekal berdaya tahan, mampan dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Jamaliah merasmikan Persidangan Selangor-Monash Nexus yang berlangsung di Sunway Resort Hotel pada 9 Jun lalu, menghimpunkan wakil kerajaan, akademia, industri serta rakan pembangunan bagi membincangkan isu daya tahan dan adaptasi iklim di Selangor.

Persidangan itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma, Naib Presiden (Penyelidikan dan Pembangunan) Universiti Monash Malaysia Prof Dato’ Ir Faisal Rafiq Mahamd Adikan serta Pengarah Eksekutif Pusat Adaptasi Iklim Selangor Daniel Lee.

Menurut Jamaliah, persidangan berkenaan memberi fokus kepada usaha menterjemahkan penyelidikan iklim dan penilaian risiko kepada dasar, pelaburan serta tindakan praktikal di lapangan.

Beliau berkata Selangor kekal komited memperkukuh daya tahan iklim melalui penggubalan dasar berasaskan bukti, inovasi serta kerjasama rentas sektor.

“Membina daya tahan iklim memerlukan tindakan kolektif dan saya berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama yang mampu membantu mewujudkan Selangor yang lebih mampan dan bersedia menghadapi perubahan iklim,” katanya.

Tambah beliau, agenda itu terus dipacu Kerajaan Negeri menerusi inisiatif seperti Pusat Adaptasi Iklim Selangor (SCAC) serta kerjasama dengan Universiti Monash Malaysia dan Kerajaan British.

Dalam kenyataan sama, Jamaliah turut merakamkan penghargaan kepada penceramah, ahli panel, penganjur dan peserta yang menyumbang kepada perbincangan tersebut.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.