Menjulang Piala Dunia menjadi idaman semua pemain bola sepak profesional yang dipanggil mewakili negara tercinta. Demi lencana di dada, kekuatan mental dan semangat juang yang tinggi pastinya menjadi motivasi terbaik untuk melangkah ke pentas akhir.
Trofi Piala Dunia moden yang dibuat menggunakan emas padu 18 karat dengan tinggi 36.8 sentimeter dan berat 6.175 kilogram menjadi buruan. Trofi itu sebenarnya piala ketiga yang diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak kejohanan pertama pada 1930.
Trofi asal Piala Dunia dikenali sebagai Victory sebelum dinamakan semula sebagai Jules Rimet Trophy pada 1946 sebagai penghargaan kepada presiden FIFA ketika itu, Jules Rimet.
Jules Rimet dianggap tokoh penting dalam sejarah bola sepak dunia kerana memainkan peranan besar dalam mewujudkan kejohanan Piala Dunia FIFA yang pertama kali dianjurkan di Uruguay pada 1930.
Trofi Jules Rimet direka oleh pengukir Perancis, Abel Lafleur, dengan reka bentuk figura Nike iaitu dewi kemenangan dalam mitologi Greek.
Ia digunakan dalam kejohanan Piala Dunia dari 1930 hingga 1970 dan menjadi simbol utama kejayaan bola sepak dunia ketika era awal kejohanan tersebut.
Antara kisah paling menarik mengenai trofi berkenaan ialah insiden kecurian di England pada 1966, beberapa bulan sebelum kejohanan Piala Dunia berlangsung.
Trofi itu dicuri ketika dipamerkan di Westminster Central Hall, London, namun ditemui semula oleh seekor anjing bernama Pickles di kawasan semak di selatan London.
Kisah Pickles menjadi antara cerita paling unik dalam sejarah Piala Dunia kerana seekor anjing secara tidak langsung menjadi penyelamat kepada simbol paling berharga dalam bola sepak dunia.
Pada 1970, Brazil diberikan hak menyimpan trofi Jules Rimet secara kekal selepas muncul negara pertama memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali.
Namun, trofi tersebut sekali lagi dicuri pada 1983 di Brazil dan tidak pernah ditemui semula sehingga hari ini.
Kehilangan trofi Jules Rimet menjadikan sejarah trofi Piala Dunia lebih misteri kerana ada dakwaan ia telah dileburkan, namun sehingga kini perkara berkenaan tidak dapat dipastikan sepenuhnya.
Selepas Brazil memiliki trofi Jules Rimet secara kekal pada 1970, FIFA memperkenalkan trofi baharu yang dikenali sebagai FIFA World Cup Trophy bermula edisi 1974.
Jerman (ketika itu Jerman Barat) yang menjadi tuan rumah edisi berkenaan muncul pasukan pertama menjulang trofi baharu menewaskan Belanda 2-1 dalam perlawanan akhir.
Trofi moden itu direka oleh pengukir Itali, Silvio Gazzaniga, dan menampilkan dua figura manusia mengangkat bumi sebagai simbol kejayaan, perpaduan dan kemegahan bola sepak dunia.
Berbeza dengan Jules Rimet Trophy, trofi Piala Dunia moden tidak lagi diberikan secara kekal kepada negara pemenang.
Sebaliknya, pemenang hanya menerima trofi sebenar ketika upacara penyampaian sebelum ia dikembalikan kepada FIFA, manakala negara juara diberikan replika untuk disimpan.








