ISTANBUL, 6 JULAI: Erling Haaland meledak dua gol pada Ahad ketika Norway mengejutkan Brazil 2-1 dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium New York/New Jersey, Amerika Syarikat (AS), sekali gus menyingkirkan juara lima kali itu dan mengesahkan kemaraan sulung mereka ke pusingan suku akhir.
Ketiga-tiga gol terhasil dalam tempoh 25 minit terakhir perlawanan, lapor Anadolu Ajansi, dengan Haaland membuka tirai jaringan selepas menyudahkan hantaran daripada Andreas Schjelderup pada minit ke-79.
Penyerang itu mengawal bola sebelum melepaskan rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol Brazil, Alisson Becker.
Haaland menggandakan kelebihan Norway pada minit ke-90 menerusi satu lagi rembatan rendah dari luar kawasan penalti yang menerjah penjuru bawah gawang, sekali gus gol ketujuhnya dalam kejohanan itu.
Gol berkenaan menyaksikan Haaland kini berkongsi kedudukan teratas senarai penjaring terbanyak Piala Dunia 2026 bersama Lionel Messi dari Argentina dan Kylian Mbappe dari Perancis.
Brazil merapatkan kedudukan pada minit ke-10 masa kecederaan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Neymar, namun jaringan lewat itu tidak mencukupi untuk mengelakkan mereka daripada tersingkir.
Brazil juga terlepas peluang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada babak pertama apabila percubaan Bruno Guimaraes berjaya diselamatkan penjaga gol Norway, Orjan Nyland.







