Brazil gagal mulakan kempen dengan kemenangan, seri 1-1 bertemu Maghribi

14 Jun 2026, 12:46 AM
Brazil gagal mulakan kempen dengan kemenangan, seri 1-1 bertemu Maghribi

EAST RUTHERFORD, New Jersey: Brazil terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas seri 1-1 menentang Maghribi dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia awal pagi tadi.

Maghribi terlebih dahulu mengejutkan gergasi Amerika Selatan itu menerusi jaringan Ismael Saibari pada minit ke-21 hasil serangan balas pantas yang disudahkan dengan tenang selepas menerima hantaran tepat daripada Brahim Diaz.

Pasukan Afrika Utara itu tampil lebih meyakinkan sepanjang babak pertama dan beberapa kali menguji benteng pertahanan Brazil yang dilihat bergelut menyesuaikan rentak permainan lawan.

Namun, Brazil berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi aksi individu cemerlang Vinicius Junior. Penyerang itu memotong masuk dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan melengkung kaki kanan yang menewaskan penjaga gol Maghribi.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama meskipun kedua-dua pasukan terus mencipta peluang berbahaya.

Selepas rehat, Brazil meningkatkan tekanan susulan beberapa pertukaran yang dilakukan jurulatih Carlo Ancelotti. Mereka lebih banyak menguasai bola dan mengasak kubu lawan bagi mencari gol kemenangan.

Bagaimanapun, pertahanan Maghribi kekal ampuh dan berdisiplin dalam mengekang setiap percubaan Brazil sehingga wisel penamat ditiupkan.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan memulakan kempen Kumpulan C dengan mengutip satu mata.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.