MIAMI, 25 JUN: Brazil menewaskan Scotland dalam kemenangan 3-0 untuk layak ke peringkat kalah mati Piala Dunia sebagai juara Kumpulan C, manakala Maghribi turut menamatkan saingan sebagai naib juara selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Haiti 4-2, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Brazil memecah kebuntuan pada minit ketujuh susulan pertahanan lemah Scotland.
Vinicius Junior memanfaatkan keadaan untuk menjaringkan bola ke gawang kosong. Gol kedua Vinicius pada mulanya dibatalkan pada minit ke-22 namun dikira semula apabila beliau menerobos jaring sekali lagi sejurus sebelum rehat apabila Scotland sekali lagi gagal mengeluarkan bola.
Matheus Cunha melengkapkan kemenangan pada minit ke-60, merembat hantaran lintang Bruno Guimarães di antara tiang.
Perlawanan itu menyaksikan kepulangan Neymar, yang tidak beraksi untuk pasukan kebangsaan sejak Oktober 2023.
Beliau terlepas dua perlawanan peringkat kumpulan pertama di Piala Dunia kerana kecederaan.
Sementara itu, Haiti menjaringkan gol Piala Dunia pertama mereka sejak 1974 untuk mendahului Maghribi pada minit ke-10.
Lenny Joseph merembat bola ke gawang tetapi FIFA merekodkan penjaga gol Maghribi Yassine Bounou sebagai penjaring.
Achraf Hakimi menyamakan kedudukan pada minit ke-39 namun Haiti sekali lagi di depan pada minit ke-43 menerusi Wilson Isidor.
Maghribi, bagaimanapun, membalas serangan sebelum rehat dan menyamakan kedudukan sekali lagi hasil daripada Ismael Saibari.
Mereka mendahului buat kali pertama pada minit ke-78 dengan Soufiane Rahimi menyudahkan sepakan sudut dan Gessime Yassine melengkapkan kemenangan pada minit ke-89.
Scotland masih mempunyai harapan untuk layak ke pusingan kalah mati sebagai salah satu pasukan terbaik di tempat ketiga manakala Haiti tersingkir.









